PKR cadang 10 SOP kepada PDRM untuk kekang isu 3R

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan 10 prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk menyiasat kes melibatkan isu 3R (agama, raja, kaum), untuk pertimbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengekang perkara tersebut.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Manivannan Gowin berkata, isu 3R sekiranya tidak dibendung akan memudaratkan sehingga menggugat ketenteraman awam, mengganggu keamanan, keharmonian dan keselamatan negara.

Menurut bekas Ahli Parlimen Kapar itu, antara cadangan tersebut ialah mewujudkan Jabatan Siasatan Jenayah 3R untuk menyiasat kes tersebut, selain pihak PDRM menyediakan senarai kesalahan kes 3R yang boleh dikenakan tindakan.

"Yang ketiga pula, PDRM perlu bertindak melalui maklumat pertama atau maklumat awal untuk mempercepatkan siasatan, di samping membuka kertas siasatan sejurus memperoleh maklumat pertama atau maklumat awal," katanya menerusi satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Tambahnya lagi, PDRM juga boleh memulakan siasatan walaupun tanpa laporan rasmi atau laporan polis, dalam masa yang sama mereka juga perlu menyelesaikan siasatan dalam tempoh tujuh hari setelah kenyataan 3R dilakukan.

"Mereka (PDRM) perlu mengeluarkan kenyataan media awal dalam tempoh tiga hari setelah kenyataan 3R dilakukan dan mengeluarkan kenyataan media susulan setelah selesai siasatan dalam tempoh tujuh hari," katanya.

Ujarnya lagi, kertas siasatan dirujuk kepada Ketua Peguam Negara dalam tempoh 10 hari setelah kenyataan 3R dilakukan.

"Sekiranya terdapat bukti yang kukuh, wajar dirujuk ke mahkamah dalam tempoh 14 hari setelah kenyataan 3R dilakukan," katanya.

Jelasnya, cadangan ini boleh diperhalusi, diperbaiki atau dipinda mengikut garis panduan PDRM.

"Saya yakin bahawa cadangan sebegini mampu dipraktiskan dan tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang Malaysia sedia ada seperti Akta Polis 1967 dan Kanun Tatacara Jenayah.

"Maka, satu pendekatan berstruktur melalui SOP untuk menyiasat kes 3R wajar disyorkan untuk kebaikan bersama, demi bangsa dan negara," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28