BERDASARKAN pekeliling termaktub di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), telah digariskan bahawa semua penjawat awam dilarang menerima sebarang bentuk sumbangan sama ada berbentuk duit raya, angpau atau cenderahati daripada mana-mana pihak berkepentingan yang mempunyai kaitan dengan tugasan rasmi mereka.
Perkara itu jelas dirujuk dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Tatakelakuan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam Versi 1.0 (2022) Ceraian UP.7.2.5 Tatacara Pemberian dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998 (PP Bil. 3/1998) pula mentakrifkan hadiah termasuklah wang, harta alih atau tidak alih, kenderaan, tambang percuma, saham, tiket loteri, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk diskaun atau komisen, hamper, barang kemas, perhiasan, apa-apa pemberian serta cenderamata.
Ia juga merangkumi apa-apa benda bernilai yang diberi kepada atau diterima oleh pegawai itu, isterinya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya daripada mana-mana orang, dengan tiada balasan atau balasan diketahui oleh pegawai itu sama ada tidak mencukupi atau pun sebaliknya.
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 pula dengan jelas menyatakan tentang kesalahan meminta, menerima, menawar atau memberi apa-apa suapan termasuk hadiah berkaitan dengan urusan prinsipal atau tugasan rasmi penjawat awam.
**media[2599094]**
Kesalahan terbabit termasuklah di bawah Seksyen 16, Seksyen 17 (a) & (b), Seksyen 20, Seksyen 21 (a), (b), (c) dan (d) dan Seksyen 23 Akta SPRM.
Selain itu, Seksyen 165 Kanun Keseksaan turut menegaskan adalah menjadi kesalahan ke atas penjawat awam menerima benda berharga, dengan tiada balasan daripada orang yang ada kena mengena dalam apa-apa pembicaraan atau urusan dijalankan penjawat awam itu.
Namun begitu, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998 (PP Bil. 3/1998) juga menjelaskan penjawat awam masih boleh menerima hadiah dianggap tidak sepadan dengan nilai melebihi satu per empat emolumen bulanan atau melebihi RM500, mana-mana nilai lebih rendah.
Mereka juga boleh menerima hadiah daripada rakan sekerja, isteri atau suami, anak-anak, ibu bapa, saudara mara sempena persaraan, pertukaran, pertunangan, perkahwinan atau apa-apa majlis berkaitan dengan adat resam dan agama.
Malah bentuk hadiah yang cepat rosak adalah dikecualikan daripada dianggap rasuah walaupun nilainya melebihi RM500.
Selain itu, kira-kira 1.2 juta penjawat awam masih dibenarkan menerima hadiah bernilai kurang RM100 sama ada berbentuk plak, kraf tangan, bahan cetak untuk promosi jabatan atau negara; atau barangan cepat rosak dan tidak tahan lama.
MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA
Bagaimanapun bagi pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, beliau tegas berpandangan matlamat tidak menghalalkan cara.
Jelasnya, secara umum semua penjawat awam tertakluk kepada pekeliling dan peraturan tertentu yang melarang mereka daripada menerima sebarang hadiah sama ada dalam bentuk duit raya atau cenderahati ketika menjalankan tugasan rasmi.
“Perbuatan itu bukan hanya satu kesalahan di bawah Akta SPRM dan bertentangan pekeliling perkhidmatan awam, malah menimbulkan persepsi negatif bahawa pihak berkuasa di Malaysia boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya kepada Sinar Premium.
Muhammad Fathi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyifatkan tindakannya memberikan duit raya kepada 420 anggota polis secara terbuka bukan satu kesalahan.
Bagaimanapun, Muhammad Fathi berkata, jika golongan penjawat awam terpaksa menerima, sukar menolak atau berasa ragu-ragu dengan tawaran ‘hadiah’ oleh pihak berkepentingan dengan tugas rasmi maka mereka perlu melaporkan secara bertulis kepada ketua jabatan masing-masing untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Fathi berbeza pandangan sekiranya unsur pemberian hadiah atau sagu hati kepada penjawat awam dibahaskan dari sudut kurniaan institusi diraja.
Jelasnya, amalan kurniaan hadiah atau cenderahati dari golongan istana sebenarnya merupakan satu amalan umum turun-temurun dan tidak menjadi satu kesalahan selagi tiada konflik berkepentingan.
Sebagai contoh, beliau berpandangan pemberian kurniaan kereta oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Ketua Polis Negara dan beberapa pegawai kerajaan baru-baru ini adalah satu amalan biasa dilakukan oleh Ketua Utama Negara dalam tradisi beraja.
“Bagi mengelakkan timbul persepsi tidak baik atau tohmahan terhadap institusi tertinggi negara, maka sewajarnya upacara penganugerahan kurniaan kereta itu diadakan secara terbuka dengan asas jelas diberikan kepada pihak berkelayakan,” katanya.
TIMBUL SALAH TANGGAPAN
Sementara itu, peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, perbuatan pemimpin politik memberikan sumbangan duit raya kepada seseorang anggota penguat kuasa yang memakai pakaian seragam akan menimbulkan tanggapan yang salah.
“Kenapa kita mahu mewujudkan tanggapan buruk terhadap anggota pasukan beruniform? Kecuali dalam majlis itu mereka menerima sumbangan tanpa memakai baju seragam atau ahli keluarga yang menerimanya, itu cerita lain.
“Jadi pokoknya, ini bukan pasal hak ahli politik hendak beri sumbangan zakat sempena musim perayaan tetapi ia boleh mewujudkan satu tabiat buruk yang mampu mempersendakan martabat polis,” tegasnya.
Berikutan itu, Haniff Khatri menegaskan jika sudah ada arahan tetap Ketua Polis Negara, maka sepatutnya pegawai dan anggota polis terbabit perlu menolak pemberian duit raya daripada ahli politik berkenaan.
Dalam pada itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim pula menegaskan pemberian duit raya dan hadiah lain oleh individu tertentu dilihat sebagai satu tindakan yang boleh memberi kesan kepada integriti dan profesionalisme anggota penjawat awam dalam menjalankan tugas awam.
“Meskipun pemberian tersebut mungkin tidak bertujuan jenayah rasuah, tindakan menerima hadiah seperti itu mungkin menimbulkan konflik kepentingan atau memberi persepsi yang tidak baik terhadap integriti pihak berkenaan,” ujarnya.
INFO
Senarai Akta dan Pekeliling berkaitan dengan pemberian duit raya, angpau dan hadiah kepada penjawat awam:
1. Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Tatakelakuan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam Versi 1.0 (2022)
2. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998 (PP Bil. 3/1998)
3. Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993
4. Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009
5. Seksyen 165 Kanun Keseksaan