SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan referendum suara lebih tiga juta ahli parti itu bagi menentukan sama ada mereka lebih memilih kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama Pas atau berkawan dengan DAP di dalam Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, ini kerana beliau berpandangan pemimpin UMNO yang menolak kerjasama dengan DAP ini hanyalah beberapa orang yang ada kepentingan peribadi seperti Timbalan Perdana Menteri itu serta kelompok individu yang menjadi pengampu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kalau proses pungutan suara dibuat di peringkat akar umbi UMNO, majoriti mereka diyakini lebih selesa untuk bekerjasama dengan Pas berbanding dengan DAP.
**media[2552905]**
"Dulu saya ada suruh Ahmad Zahid buat referendum suara ahli UMNO sama ada mereka selesa bersama DAP atau tidak. Dia tak nak buat.
"Sekarang bila timbul isu hidupkan kembali MN, alang-alang Presiden UMNO berusaha cari tandatangan tiga juta ahli parti untuk menyokong tuntutan pengampunan (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak).
"Buatlah sekali satu referendum untuk tentukan akar umbi lebih pilih kerjasama MN dengan Pas atau bersama DAP kalau dia berani," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan saranan Pas supaya kerjasama antara kedua-dua parti melalui MN dihidupkan semula sebagai tidak ikhlas.
Terdahulu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin ketika dihubungi Sinar Premium menyuarakan keyakinan hubungan MN di antara UMNO-Pas mampu kembali berputik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sementara itu, Isham berpendapat dakwaan Ahmad Zahid menuduh Pas tidak ikhlas dalam mempertahankan kerjasama MN bersama UMNO adalah tidak tepat, bersandarkan pengaruh terkini parti itu yang ternyata lebih kuat berbanding UMNO.
"Pas sekarang saya tengok lebih ikhlas. Mereka memiliki lebih ramai ahli Parlimen berbanding UMNO, bahkan parti itu sendiri paling dominan di dalam PN serta menguasai segmen pengundi Melayu yang semakin meninggalkan UMNO.
"Bila orang lebih kuat hendak tawarkan UMNO sesuatu, nampak parti itu angkuh kalau mereka menolaknya mentah-mentah.
"Dengan Ahmad Zahid sendiri pun tidak mendapat mandat akar umbi UMNO sebagai Presiden parti disebabkan jawatan utama tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO, saya percaya Ahmad Zahid selama ini bercakap soal MN dan masa depan UMNO atas kepentingan sendiri bukan kepentingan parti," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28