KOTA KINABALU - Satu hantaran di media sosial yang menggambarkan seolah-olah Datuk Seri Hajiji Noor bertemu dengan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei bagi mengaitkannya dengan skandal perlombongan di Sabah, jelas cubaan terancang untuk mencemarkan reputasinya sebagai Ketua Menteri Sabah.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Ketua Menteri dalam kapasiti beliau sebagai ketua eksekutif kerajaan negeri memang bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam urusan rasmi kerajaan.
Jelas beliau, pertemuan seperti itu adalah amalan biasa dalam tugas rasmi Ketua Menteri dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
"Individu di sebalik hantaran media sosial tersebut, bersama Albert, mempunyai niat jahat untuk mengaitkan Ketua Menteri dengan Albert dan skandal perlombongan.
"Tambahan pula, Ketua Menteri tidak menafikan kenal atau pernah bertemu dengan Albert, tetapi jelas, hantaran tersebut satu cubaan untuk mempolitikan mesyuarat biasa, yang bersifat menyiratkan dan tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Nizam berkata, Ketua Menteri telahpun bersikap telus dan meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh, sambil memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh.
"Segala tuduhan perlu dibuktikan melalui proses undang-undang dan bukan melalui kempen fitnah di media sosial," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, portal berita tempatan semalam mendedahkan bahawa seorang sumber memaklumkan bahawa Albert telah merancang ‘aksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dipercayai berkaitan dengan kes rasuahnya yang dijadual disebut di Mahkamah Kota Kinabalu pada Jumaat.
Katanya, amat jelas bahawa Albert sendiri memainkan peranan utama dalam mencetuskan drama persepsi tersebut.
"Beliau sudah merancang langkah ini lebih awal. Dia masuk ke Sabah dengan memberitahu pihak imigresen kononnya hanya mahu berjumpa kawan, sedangkan dia tidak menunjukkan surat panggilan mahkamah yang sepatutnya.
"Semua ini merupakan sebahagian daripada muslihat dan perancangan Albert untuk menimbulkan kekeliruan dan menimbulkan persepsi kononnya beliau dianiaya. Albert sengaja mencetuskan teori konspirasi kononnya wujud campur tangan politik dalam siasatan terhadap dirinya bagi meraih simpati awam.
"Ini bukan lagi tindakan individu teraniaya, tetapi satu operasi persepsi terancang untuk mengalihkan perhatian daripada kes dan siasatan terhadap dirinya sendiri," katanya.
Untuk rekod, Albert didakwa di Mahkamah Rasuah Kota Kinabalu di sini berkaitan kes rasuah berkaitan perlesenan lombong mineral bersama dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.