Harap kuota 30 peratus Wanita UMNO calon PRU jadi kenyataan

JOHOR BAHRU – Wanita UMNO berharap kuota 30 peratus calon wanita mewakili parti itu dapat direalisasikan pucuk pimpinan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi mengiktiraf peranan besar wanita dalam perjuangan politik tanah air.

Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata, ketika ini hanya 11 peratus wanita ditampilkan sebagai calon pilihan raya walaupun permintaan itu sudah lama disuarakan oleh sayap berkenaan.

“Memang agak sukar (tuntutan itu dipenuhi), namun kita tidak akan berputus asa. Wanita terkenal dengan kesetiaan, bukan jenis yang melompat-lompat parti.

“Sebagai ibu, kakak dan tulang belakang keluarga, kami sedia menawarkan khidmat serta tanggungjawab sekiranya diberi peluang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Negeri Johor di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini pada Jumaat.

Program berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Rosni berkata, kuota 30 peratus calon wanita itu selaras dengan amalan di beberapa negara luar termasuk Indonesia yang telah melaksanakannya dalam sistem pilihan raya mereka.

Menurutnya, di peringkat negeri, sebanyak 23 peratus kuota untuk calon wanita sudah diisi, namun jumlah tersebut masih rendah di kebanyakan negeri lain.

“Kita mahu lebih ramai wanita diberikan peranan selepas ini. Pihak kami sudah bersedia sekiranya diberi peluang menjadi calon,” katanya.

Sebelum itu pada Oktober 2022 melaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meluluskan cadangan untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika itu berkata, ketetapan itu bermakna calon wanita mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan meningkat hampir sekali ganda berbanding hanya 14 peratus calon wanita pada PRU-14.