Pintu tukar kerajaan tertutup rapat

SHAH ALAM - Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan agar semua pihak mesti menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang dibentuk menandakan pintu untuk menukar kerajaan bagi penggal ini telah tertutup rapat.

Menurut Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi, titah Sultan Ibrahim yang tidak akan melayani permintaan yang boleh menggugat kestabilan politik menunjukkan Seri Paduka Baginda juga tidak akan menggunakan pendekatan sebelum ini.

“Sebelum ini mengambil pendekatan diplomasi mungkin membuka ruang kepada ahli politik untuk merebut kuasa berbanding pembangunan negara.

“Dalam titahnya, Sultan Ibrahim turut menyebut akan menjalankan amanah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang telah digubal,” katanya.

Ujar beliau, hal ini juga secara tidak langsung memberi petunjuk sekiranya ahli Parlimen masih berhasrat menukar kerajaan maka mereka perlu mengutamakan praktis demokrasi berparlimen terlebih dahulu.

“Mereka perlu mengikut aturannya sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong atau untuk menjadi pertimbangan Seri Paduka Baginda setelah proses kepercayaan atau tidak percaya terhadap Perdana Menteri berjaya dibuktikan di Dewan Rakyat,” jelasnya.

**media[2552951]**

Tambah Anis Anwar, titah Sultan Ibrahim turut memberi refleksi bahawa Seri Paduka Baginda menghormati ruang demokrasi yang ada dalam Parlimen.

“Maka ia terletak pada sejauh mana kerajaan dan speaker dewan bersikap telus dan terbuka untuk mengutamakan usul tersebut sekiranya berlaku.

“Namun, sekiranya sebahagian ahli Parlimen gagal menyempurnakan proses ini dalam ruang Parlimen, maka Seri Paduka Baginda juga menasihati untuk menerima kenyataan dan kembali bertanding pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, titah Sultan Ibrahim adalah tepat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda menitahkan sedemikian berdasarkan kepada Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Malah Akta Anti Lompat Parti Pindaan 2022 yang terpakai hari ini adalah memustahilkan berlakunya peralihan kerajaan,” katanya.

Mohammad Tawfik juga yakin pintu pertukaran kerajaan sudah tertutup rapat berdasarkan kesukaran ahli Parlimen untuk mengubah kedudukan mereka kerana halangan perundangan yang diwujudkan untuk melompat parti.

“Justeru, kuasa melantik Perdana Menteri ada pada Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak yakin dengan majoriti sokongan daripada mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan maka Yang di-Pertuan Agong berhak untuk tidak melayan dan mengabaikan permintaan yang tidak realistik.

“Hari ini jelas bilangan majoriti lebih dua pertiga kerusi berada di pihak Kerajaan Perpaduan,” tambahnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28