Masa terbaik laksana gencatan politik

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya untuk parti-parti Melayu Islam dalam Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan Gencatan Politik Nasional bagi memperluaskan agenda penyatuan ummah merentasi polemik kepartian.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, inisiatif itu sangat penting dan perlu dipandang serius semua pihak, pada saat negara berada di ambang kegawatan ekonomi, kehidupan rakyat makin terhimpit, kedaulatan syariah semakin terhakis dek agenda golongan liberal serta dunia Islam terus ditindas seperti di Palestin.

**media[2552897]**

Jelasnya, sebagaimana Pas pernah membuka pintu kerjasama dengan BN sewaktu mereka menjadi kerajaan, maka pada ketika ini gencatan politik perlu dibuat dengan kerajaan memerintah iaitu PH-BN.

"Bagi saya, gencatan itu adalah untuk mewujudkan suasana kondusif ke arah kerjasama lebih luas bagi menjayakan agenda penyatuan ummah.

"Meskipun Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mengatakan kerjasama Muafakat Nasional (MN) tidak akan dikembalikan, saya berpandangan agenda penyatuan ummah itu tidak akan mati, malah akan terus diusahakan sehingga Hari Kiamat.

"Cuma, pandangan saya secara peribadi, pendekatan bagi mengusahakan agenda penyatuan ummah adalah dinamik. Pihak yang menjadi rakan kerjasama juga boleh diperluaskan, bukan hanya UMNO dan BN," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan saranan Pas supaya kerjasama antara kedua-dua parti melalui MN dihidupkan semula sebagai tidak ikhlas.

Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa Pas yang keluar daripada MN, bukan UMNO kerana mereka menikam parti itu dari belakang serta melakukan kerenah melebihi apa dipersetujui melalui piagam MN.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berpandangan MN hanyalah merupakan jenama kepada agenda penyatuan ummah yang diusahakan Pas sejak tahun 2015 lagi.

Sekali pun MN dianggap terkubur oleh sesetengah pihak, beliau berpandangan agenda penyatuan ummah bukan sahaja perlu diteruskan bahkan wajar diperkasakan oleh semua pihak.

"Sebelum ini, di dalam isu konflik Palestin dan Israel, Pas dan PN telah bersolidariti bersama-sama dengan pimpinan UMNO, PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara) dan pelbagai badan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi di Masjid Negara.

"Ini menunjukkan dalam situasi tertentu, rakan kerjasama bagi melangsungkan agenda penyatuan ummah itu boleh diperluaskan selagi mana ia diasaskan atas ketakwaan dan kebaikan," ujarnya.

**media[2552995]**

Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berpendapat tawaran Pas mengajak UMNO menghidupkan kembali MN pasca PRU15 adalah bukti sebenar keikhlasan parti itu menjayakan agenda perpaduan ummah.

Jelasnya, ini kerana saranan Pas itu dibuat pada saat parti berkenaan memiliki kerusi Parlimen terbanyak dengan 43 ahli Parlimen, selain menguasai segmen pengundi Melayu bersama PN.

"Kalau dahulu UMNO hendak kata kita tidak ikhlas, mungkin mereka boleh guna alasan kita hanya ada 18 kerusi Parlimen berbanding BN lebih banyak kerusi.

"Sekarang kita ada bilangan kerusi Parlimen terbanyak, menguasai segmen pengundi Melayu. Kita tidak perlukan UMNO pun sebenarnya...Tetapi kita perjuang juga MN dan agenda perpaduan ummah kerana ia merupakan perkara dituntut ke atas umat Islam," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28