SHAH ALAM - Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mendedahkan masih ada usaha pihak tertentu termasuk individu dikenali sebagai ‘Datuk Rahim’, yang mendekati dan memujuk ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mendakwa, di sebalik pendedahan Langkah Dubai yang dikatakan mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, broker dan ejen-ejen perunding politik kerajaan terus aktif berusaha memancing ahli-ahli Parlimen PN agar memberi sokongan kepada Anwar.
“Saya tidak tahu-menahu mengenai sebarang gerakan untuk tumbangkan kerajaan oleh PN. Dengan Kerajaan Perpaduan bangga menyatakan kedudukan mereka kukuh dan menerima sokongan majoriti dua pertiga, mengapa kerajaan hari ini tidak habis-habis bersangka buruk terhadap pembangkang?
“Dalam mereka sibuk mendedahkan spekulasi Langkah Dubai, hakikat sebenar berlaku di peringkat akar umbi adalah masih terdapat sebilangan ejen atau proksi kerajaan yang cuba mendekati dan memancing ahli-ahli Parlimen PN untuk beralih sokongan terhadap Anwar.
“Terbaharu, seorang individu bernama ‘Datuk Rahim’ beberapa kali menghubungi saya dan beberapa rakan ahli Parlimen PN serta menawarkan pelbagai ganjaran bagi memujuk kami memindahkan sokongan kepada kerajaan sedia ada.
**media[2486358]**
“Di sini saya ingin ulang, cukup-cukuplah ini cuba membeli kami dan jangan ganggu kami lagi. Beri kami ruang untuk buat kerja sebagai wakil rakyat pembangkang pula,” katanya kepada Sinar Premium.
Fathul Huzir berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan memang wujud gerakan Langkah Dubai sebagaimana didedahkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sebelum ini.
Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop baru-baru ini mendakwa terdapat rancangan sulit untuk menjatuhkan kerajaan Anwar melibatkan pembabitan tokoh politik berpengaruh bergelar Tun.
Untuk rekod, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat PN kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof meminta pemimpin Kerajaan Perpaduan agar tidak lagi mengaitkan sebarang dakwaan gerakan menjatuhkan kerajaan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.Menurutnya, dengan usia tokoh negarawan itu menjangkau 100 tahun, adalah tidak relevan Kerajaan Madani mengaitkan beliau dengan sebarang usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Setiap kali ada gerakan tumbang kerajaan, mesti ada nama Tun M (Dr Mahathir) dan Tun Daim (Zainuddin) dikaitkan.
“Mereka ini sudah berusia dan tidak perlu buktikan apa-apa lagi dalam landskap politik negara. Mengapa mereka ini sering dijadikan kambing hitam?
“Saya fikir cerita Langkah Dubai hanyalah untuk menutup kerapuhan Kerajaan Madani. Mereka dakwa ada sokongan dua pertiga, tapi ia cuma sokongan bersyarat yang tidak stabil,” katanya.