SPR patut semak semula persempadan semula

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya menyemak semula pindaan mengenai pecah sempadan untuk tambahan bilangan kerusi Parlimen yang tidak berubah sejak 20 tahun lalu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, penerangan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah berikutan lat tempoh lapan tahun kajian yang masih berkuat kuasa, didakwa tidak menyeluruh.

“Beliau hanya sentuh satu aspek sahaja, sedangkan satu aspek lagi tidak disebut dan ia juga berdasarkan Perlembagaan.

“Ada dua perkara sebenarnya iaitu persempadanan semula, yang mana sempadan itu diubah suai dan berlaku dalam lat lapan tahun.

"Tetapi, satu perkara lagi adalah pecah sempadan yang mana saya lihat ia satu keperluan mendesak kerana kali terakhir dipinda sebelum 2004.

“Kerusi yang ada di seluruh negara ketika ini ada 222. Saya rasa, Pengerusi SPR kena semak semula dan lihat kepada cadangan pindaan tambah bilangannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Hassan, rancangan persempadanan semula dan pecah sempadan harus dipinda di Parlimen.

Jelasnya, pecah sempadan amat penting kerana tiada penambahan yang nyata dalam tempoh 20 tahun terutama di Pantai Timur menyebabkan ada kawasan Parlimen tidak seimbang.

“Pengundi di Parlimen Bangi misalnya, ada lebih 300,000 berbanding di Putrajaya, kira-kira 30,000 sahaja. Maknanya, tidak seimbang sedangkan lokasi kedua-duanya dekat sahaja.

“Bilangan kerusi Parlimen di Terengganu hanya lapan, sangat sedikit berbanding 26 kerusi di Johor. Negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung khususnya, bilangan kerusi Parlimen bertambah banyak tapi di negeri yang ramai Melayu di Pantai Timur, tak bertambah.

“Tak boleh macam tu. Kita jangan politikkan pertambahan kerusi ini, kena amalkan demokrasi tidak kira kaum apa.

"Kalau ada cadangan pecah sempadan yang baharu, kena libatkan negeri ini, begitu juga di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan pula berkata, SPR berhak menentukan persempadanan semula mengikut kesesuaian dan aturan seperti dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, jumlah pengundi yang tinggi dalam sesetengah kawasan tidak adil untuk rakyat, sebagaimana di Bangi yang mempunyai lebih 300,000 pengundi.

“Saya ambil contoh, beberapa kawasan Parlimen dalam Selangor sendiri yang ada 50,000 atau 60,000 pengundi.

"Jika bandingkan dengan seorang pengundi di Bangi, ini bermakna nilai satu undi pengundi kawasan-kawasan Parlimen ini bersamaan dengan lima atau enam undi dalam kawasan Parlimen Bangi.

“Disebabkan peruntukan Parlimen adalah sama bagi setiap kawasan Parlimen, maka peruntukan yang kami terima harus ‘dikongsi’ dengan lebih ramai pengundi berbanding kawasan Parlimen lain,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, walaupun persempadanan semula dibuat berdasarkan Perlembagaan, kerajaan Pusat harus memastikan ia dilaksanakan mengikut jadual semasa.

Di negara ini katanya, banyak tempat yang terlibat dengan persempadanan semula, namun tidak berlaku di Kelantan dan Terengganu.

“Kita kena laksanakannya ikut undang-undang. Tapi, perlu lihat juga bilangan pengundi dan faktor lain yang menyokong. Sepatutnya ia dilakukan sebagaimana dibenarkan dan disarankan oleh Perlembagaan serta mengikut jadual.

“Cuma dalam hal ini, kena ambil perhatian pertambahan mendadak pengundi di tempat-tempat tertentu.

"Kita kena lihat daripada mana pengundi ini datang, sedangkan kadar kelahiran tak tinggi. Ia penting dari sudut politik dan keselamatan negara,” jelasnya.