Mohamed Khaled sedia terima kritikan Mohd Puad

JOHOR BAHRU - Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersedia menerima kritikan daripada Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang tidak dicalonkan lagi untuk kerusi Parlimen Batu Pahat pada PRU14.

“Sebagai ketua, saya bersedia menerima kritikan daripada mana-mana pihak termasuk ahli Umno sendiri.

“Fokus saya ketika ini adalah untuk PRU14. Kritiklah, pukullah seberapa banyak yang dia (Mohd Puad) mahu sampai puas hati, tetapi selepas itu kerjalah untuk parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mohd Puad yang mengkritiknya secara terbuka, baru-baru ini. 

Terdahulu, Mohamed Khaled menyempurnakan Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Johor Corporation Bhd di Hotel Puteri Pacific, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau meminta Mohd Puad supaya tidak pula mengkritik Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta jentera.

“Bantai saya seorang, jangan bantai Presiden (Najib), Timbalan Presiden (Ahmad Zahid) dan jentera parti,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha BN negeri, Datuk Md Jais Sarday berkata, kesemua bilik jentera BN di Johor beroperasi seperti biasa termasuklah di kawasan Parlimen Batu Pahat.

“Cakap-cakap ada bilik gerakan di bahagian Batu Pahat tidak beroperasi adalah tidak tepat,” katanya.

Mohamed Khaled NordinMohd Puad ZarkashiBatu Pahat