Melaka ketandusan calon wanita

Sejak beberapa pilihan raya yang lalu, parti-parti politik di Melaka dilihat gagal menampilkan calon-calon wanita untuk diketengahkan.

Isu ini walau bagaimanapun sebenarnya tidak unik di Melaka kerana ia juga berlaku di seluruh negara, dalam boleh dikatakan pada setiap pilihan raya.

Dalam PRU-14 lalu, hanya dua calon wanita menang di Melaka daripada 28 DUN yang ada di negeri itu - Latipah Omar dari UMNO yang memenangi Taboh Naning dan Ginie Lim dari PKR yang memenangi Machap Jaya.

Apa yang menarik ialah kemenangan kedua-dua orang calon ini kelihatan begitu mujur apabila mereka 'menyelamatkan' kerajaan masing-masing, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan daripada ketiadaan calon paling sesuai untuk menjawat jawatan Exco Wanita.

Ginie jadi calon tunggal Exco Wanita kerajaan PH dari Mei 2018 sehingga Mac 2020 manakala Latipah sahaja paling sesuai menggantikan Ginie bagi jawatan tersebut apabila PN mengambil-alih teraju pentadbiran negeri daripada PH selepas itu.

Hanya lima calon

Jika dua daripada 28, atau 7.14 peratus wanita dalam ADUN Melaka dikira kecil, mari kita lihat pula bilangan calon wanita yang bertanding PRU-14 lalu secara keseluruhan di negeri itu.

Daripada 84 calon bertanding dalam 28 DUN Melaka, hanya terdapat lima calon wanita, membentuk 5.95 peratus - lebih kecil daripada peratusan wanita sebagai ADUN.

Lima calon tersebut adalah: 

1) Hasmorni Tamby, calon PKR di Kuala Linggi - Kalah
2) Norpipah Abdol, calon UMNO di Rembia - Kalah
3) Azalina Abd Rahman, calon Bersatu di Sungai Rambai - Kalah
4) Latipah Omar, calon UMNO di Taboh Naning - Menang
5) Ginie Lim Siew Lin, calon PKR di Machap Jaya - Menang

Dengan peratusan sekecil ini, masih agak terlalu jauh bagi negeri Tun Fatimah itu untuk mencapai sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan penting seperti yang dihasratkan kerajaan.

Hasmorni TambyNorpipah AbdolAzalina Abd RahmanLatipah OmarGinie LimPRN Melaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :