Vivian mengundi di SK Muhibbah Sandakan

SANDAKAN - Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, 30, tiba pada 8.09 pagi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah di sini, pagi ini.

Anak kepada penyandang kerusi Parlimen Sandakan, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt itu memakai baju kemeja berwarna putih kelihatan ceria melangkah masuk ke pusat mengundi.

Para media yang menanti ketibaannya tidak melepaskan peluang untuk merakam detik beliau mencelup jari warna biru sebagai tanda telah menunaikan tanggungjawab.

Pagi ini seawal 7.30 pagi, pengundi saluran satu dan dua di SK Muhibbah terlebih dahulu memulakan proses pengundian.

Keadaan cuaca pula cerah walaupun malam tadi cuaca hujan dan pada pagi proses pengundian berjalan lancar.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.- Bernama

PRK Sandakan

Berita Popular

Video Popular