Kemarau PRK PH berakhir, Sandakan milik DAP

SANDAKAN - [DIKEMASKINI] DAP mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan selepas calonnya Vivian Wong Shir Yee, 30, menewaskan empat pencabarnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, hari ini.

Vivian memperoleh majoriti 11,521 undi, selepas mendapat 16,012 undi.

Selain Vivian, PRK itu ditandingi calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin yang mendapat 4,491 undi dan tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, 65, (788 undi) Chia Siew Yung, 46, (178 undi) dan Sulaiman Samat, 36, (126 undi).

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan keputusan berkenaan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan di sini pada jam 9 malam ini.

Keputusan itu bermakna Vivian mempertahankan kerusi disandang sejak dua penggal lalu oleh bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Stephen yang juga Pengerusi DAP Sabah, menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 undi diperoleh lawannya daripada Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon LDP, Datuk Lim Ming Hoo.

PRK Parlimen Sandakan adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April). - Bernama

PRK SANDAKAN

Berita Popular

Video Popular