Remaja lelaki ditemukan lemas di kawasan air terjun

Mayat mangsa ditemui pada jam 1.29 pagi di kawasan air terjun Laman Tiga Budaya, Jasin, Melaka pada Jumaat.

JASIN - Seorang remaja lelaki ditemukan lemas di air terjun Laman Tiga Budaya, Asahan di sini, pada awal pagi Jumaat.

Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin (BBP) Jasin, Penguasa Bomba Kanan II Seleman Tugi berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 10.24 malam sebelum mayat Muhammad Rafid Azahari, 19, ditemui anggota bomba dan penyelamat pada jam 1.29 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin serta Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Melaka Tengah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan itu.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa dipercayai datang ke kawasan rekreasi terbabit bersama seorang rakannya pada petang Khamis sebelum dipercayai hilang kira-kira jam 7 petang.

"Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kejadian itu dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dalam radius 500 meter dari kawasan mangsa dipercayai hilang.

"Mangsa ditemui telah meninggal dunia di kawasan air terjun itu setelah hampir tiga jam operasi dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Tangkak untuk proses dibedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :