KDA FC perkenal tiga lagi pemain import

Dari kiri, Bojan, Manuel dan Willian. (Foto: Facebook Kedah Darul Aman FC)

TIGA lagi pemain import melengkapkan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk memantapkan lagi aksi berdepan saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengumumkan bekas pemain Sri Pahang yang menjadi rebutan beberapa pasukan, Manuel Hidalgo kini sah menjadi milik Kedah.

KDA FC turut menyambar penyerang import yang baharu dari Brazil, Willian Lira Sousa yang sebelum ini beraksi dalam Liga Jepun dan bakal melancarkan serangan berbisa buat Sang Kenari.

“Kita turut membawa masuk pemain pertahanan dari Serbia berusia 28 tahun, Bojan Ciger yang diyakini dapat memperkukuhkan lagi benteng pasukan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian rakan rasmi dan pengumuman pasukan Liga Super KDA FC di sini, pada Khamis.

Mohd Daud berkata, Sang Kenari kini melengkapkan kesemua lima pemain importnya yang akan didaftarkan untuk skuad utama musim ini.

Sebelum ini, KDA FC telah mengumumkan tiga pemain import, iaitu Manuel Ott dari Filipina dan Amirbek Juraboev dari Tajikistan sebagai pemain tengah.

Seorang lagi pemain import, Alan Jonathan Robertson dari Afrika Selatan didaftarkan dalam skuad Liga Simpanan dan menjadi pemain sokongan di bahagian pertahanan.

“Saya bersyukur dan lega semua pemain yang dipilih oleh jurulatih, Nafuzi Zain dapat dilengkapkan dalam tempoh pantas bagi menghadapi saingan liga musim ini,” katanya.

Menurutnya lagi, Kedah akan memburu dua lagi pemain import yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita jangkakan ada tambahan dua lagi pemain import sebagai pemain pasukan Liga Simpanan KDA FC. Ia berdasarkan keperluan untuk membantu pasukan utama, nama mereka sudah ada cuma masih ada beberapa proses belum selesai,” katanya.

Mohd Daud (empat dari kiri) bersama pemain import yang kini beraksi untuk KDA FC.

Mohd Daud berkata, jumlah keseluruhan pemain pasukan Liga Super KDA FC musim ini adalah 26 orang setakat ini.

“Penaja akan diumumkan Februari depan ketika pelancaran jersi baharu KDA FC musim ini,” katanya.

Menurutnya lagi, KDA FC akan mengadakan siri jelajah pra-musim ke Turki sebelum saingan Liga Super bermula pada Februari ini selain beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan tempatan.

Dalam pada itu, turut diumumkan rakan rasmi KDA FC, iaitu Olive House, Aiman Platinum, House of Sang Kenari, Paddy Gear dan E-man.

“Komitmen daripada rakan rasmi sedikit sebanyak membantu menjana pendapatan kelab secara terus selain meningkatkan jaringan bersama konsumer melalui pembelian produk atau perkhidmatan ditawarkan,” katanya.