KAPIT - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas, Lidam Assan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), menang tanpa bertanding selepas muncul sebagai calon tunggal yang mengemukakan kertas pencalonan pada proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pegawai Pengurus, Harry Bruce Edwin mengumumkan keputusan itu di Pusat Penamaan Calon DUN Katibas di Dewan Masyarakat Song, pada jam 10 pagi hari ini selepas tempoh penamaan calon berakhir.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Lidam mengekalkan kerusi berkenaan bagi penggal seterusnya tanpa perlu melalui proses pengundian pada 12 Disember ini.
Turut hadir mengiringi Lidam pada hari penamaan calon ialah Ahli Parlimen Kapit merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang juga Setiausaha Agung GPS.
Pada Januari lalu, Nanta turut menyuarakan sokongan terhadap pencalonan semula Lidam, dengan mengambil kira prestasi serta kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.
Pada PRN Sarawak yang lalu, Lidam memenangi kerusi Katibas dengan memperoleh 4,198 undi dan majoriti 2,997 undi dalam persaingan enam penjuru. - Awani