`Jangan lantik ahli politik dalam GLC` - ABIM

SHAH ALAM - Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk tidak melantik ahli-ahli politik bagi mengisi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Fazril Mohd Salleh berkata, bertitik tolak daripada iltizam Perdana Menteri dalam isu pelantikan kabinet yang tidak mahu memberi ganjaran kepada 'tuan politik', perkara sama harus dilaksanakan dalam isu berkenaan.

Menurutnya, kerajaan perlu berpegang kepada asas bahawa lantikan itu nanti berdasarkan kepada prinsip mereka yang mempunyai kredibiliti, berkebolehan, berkompetensi, mempunyai ketrampilan yang unggul, cekap, dan kesesuaian di posisi-posisi tersebut.

"Kegusaran rakyat adalah apabila para politikus mengharapkan habuan jawatan untuk memberikan sokongan, apakah Perdana Menteri akan berdepan dengan penarikan sokongan selepas ini apabila kelompok-kelompok tertentu tidak dilantik dalam kabinet atau GLC atau agensi? Rakyat tak mahu lagi peristiwa 'Langkah Sheraton' berulang.

"Oleh itu, para politikus mestilah ada kesedaran dan kefahaman, mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan peribadi dan kelompok parti," katanya kepada Rasuah Busters pada Rabu.

Isu pelantikan ahli politik membabitkan GLC bukan perkara baharu, malah sudah menjadi kebiasaan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Malah suatu ketika, perhatian tertumpu terhadap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila melantik ramai pemimpin parti menjadi pengerusi dan ahli lembaga pengarah dalam GLC.

Anwar yang ketika itu masih di posisi pembangkang turut mempersoalkan pelantikan ramai ahli Parlimen ke jawatan tinggi dalam GLC, di saat negara berdepan masalah ekonomi dan pengangguran susulan wabak Covid-19.

Anwar berkata, apatah lagi jika ahli Parlimen yang dilantik hanya sekadar untuk menerima elaun besar tetapi tiada pengalaman untuk mengangkat GLC tersebut.

Jelasnya, fokus utama kerajaan ketika ini mestilah menangani isu-isu yang meresahkan rakyat seperti isu kos sara hidup, kestabilan harga barang, kecukupan dan keselamatan makanan, peluang pekerjaan dan lain-lain.

"Oleh itu, pasukan yang dipimpin oleh Perdana Menteri mestilah mempunyai kemampuan menangani keutamaan negara dan keperluan rakyat terbanyak dan rakyat sendiri mesti bersuara dan menekan pemerintah dan para politikus. Diharapkan agar wujud mekanisme mengawal yang mampu menstabilkan kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat," katanya.

Senada dengan Muhammad Fazril, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel turut menegaskan perkara yang sama.

"Ya," jawabnya ringkas berhubung gesaan tiada lantikan ahli politik dalam GLC, sebagai satu bentuk ganjaran terhadap sokongan kepada pentadbiran Anwar.

Sebelum ini, tinjauan yang dilakukan Sinar Harian mendapati sekiranya jawatan di dalam GLC dipegang oleh golongan politik, ia seolah-olah tidak sesuai kerana mereka tidak mempunyai latar belakang bidang syarikat tersebut.

Rata-rata bersetuju bahawa GLC perlu disandang individu yang berkemampuan dalam ilmu pengurusan sesebuah korporat.

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :