BATU PAHAT - MCA bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) pada bila-bila masa termasuk sekiranya ia diadakan lebih awal seperti yang diharapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, berdasarkan rekod pilihan raya umum sebelum ini, tempoh pentadbiran tidak semestinya menunggu sehingga genap lima tahun.
Justeru, katanya, MCA perlu memastikan persiapan jentera dan strategi pilihan raya dilakukan lebih awal termasuk mengambil kira keadaan politik yang berbeza di setiap negeri.
Menurutnya, pendekatan MCA tidak boleh diseragamkan di semua negeri kerana Johor, Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai ciri politik serta kekuatan parti yang berbeza.
“Setiap negeri mempunyai strategi masing-masing. Johor berbeza dengan Negeri Sembilan. Jadi kita kena buat kerja lebih kuat di setiap negeri dengan acuan masing-masing.
“Kita kena tengok mana kekuatan kita, kawasan mana yang kita boleh menang dan kita kena buat analisis dengan tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MCA Peringkat Negeri 2026 secara serentak di seluruh negara di Dewan Persatuan Vhe Ann Khor, Yong Peng, di sini pada Rabu.
Ketika ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaan supaya PRU16 disegerakan sebelum tempoh penggal tamat tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa PRU16 merupakan detik penentuan bagi mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.
Dalam pada itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menegaskan Johor mempunyai pengalaman tersendiri apabila MCA yang tidak memenangi sebarang kerusi pada PRU 2018 berjaya memperoleh empat kerusi pada PRU 2022, sebelum memenangi lapan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Begitu juga pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, selepas 17 tahun tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri, MCA memenangi dua kerusi DUN.
“Ini satu kejayaan. Tetapi jangan kita terbawa-bawa dengan kejayaan ini sebab kita masih ada misi yang perlu diusahakan,” jelasnya.
Beliau berkata, MCA perlu meneruskan lebih banyak program di kawasan yang dikenal pasti, termasuk kawasan yang mempunyai potensi untuk dimenangi atau sebelum ini kalah dengan perbezaan undi yang kecil.
Tegasnya, pendekatan sama perlu digunakan di Melaka dan negeri-negeri lain dengan MCA mengenal pasti kekuatan serta kawasan yang berpotensi dimenangi berdasarkan analisis yang tepat.
“Kalau belum buat sekarang pun, cari tempat mana kita nak buat. Kita kena buat persediaan lebih awal.
“Bukan buat persediaan esok nak lawan. Baru hari ini kita siap. Tak boleh begitu," katanya.