Kerajaan perpaduan banyak cabaran, segera agenda reformasi

SHAH ALAM - CSO Platform for Reform yang merupakan gabungan 100 badan-badan masyarakat madani di Malaysia yang memberi tumpuan terhadap perubahan institusi, mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan dan mempercepatkan segala usaha agenda reformasi.

Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform berkata, kerajaan perpaduan yang bakal dibentuk berdepan banyak cabaran masa hadapan.

"Kami percaya bahawa perubahan dalam beberapa hari yang lepas telah mencerminkan demokrasi negara kita yang semakin matang.

"Menyedari bahawa kerajaan perpaduan akan menghadapi banyak cabaran di masa hadapan, kami menyeru kerajaan baharu untuk meneruskan proses reformasi institusi, yang telah dimulakan pada 2018 ke tahap yang lebih tinggi untuk kebaikan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, CSO Platform for Reform sudah bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan sekali lagi apabila kabinet dipilih kelak.

"Kami meminta semua rakyat Malaysia untuk mengelakkan daripada membuat kenyataan yang boleh mencetuskan kebencian dan sentimen agama, hormatilah keputusan demokrasi," katanya.