PRN Melaka: BN mulakan rundingan, dua perjumpaan berasingan minggu depan

MELAKA - Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan mengadakan dua perjumpaan berasingan dengan dua kumpulan berbeza minggu depan bagi membincangkan kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua pertemuan itu telah diatur oleh Ibu Pejabat BN pada tarikh dan waktu berbeza.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti dua kumpulan berkenaan, sama ada membabitkan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau parti lain.

"Minggu depan Ibu Pejabat telah mengaturkan dua perjumpaan yang berasingan, di tarikh dan waktu yang berbeza. Dua kumpulan yang berlainan.

"Baru nak bincang, nak dedah macam mana? Bincang dululah. Kita bagi pada (Pengerusi BN Melaka) Datuk Seri Ab Rauf (Yusoh) maklum," katanya ditemui pada Program Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu di MITC pada Sabtu.

Ketika ditanya sama ada rundingan dengan Pas akan dilakukan susulan status PN yang kini digantung Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Ahmad Zahid berkata, perkara itu diserahkan kepada kepimpinan PN dan Setiausaha Agungnya.

"Saya serahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung dan Pengerusi PN untuk menentukan tapi kami lebih selesa jika dalam sesebuah parti daripada gabungan yang telah terburai itu," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya kumpulan mana yang paling hampir untuk menjalinkan kerjasama dengan BN, Ahmad Zahid berkata, perkara itu masih akan diperhalusi.

"Itu akan diperhalusi dan kita mesti melihat dari segi mudarat dan munasabah, mana yang lebih.

"Sudah tentu kita sebagai sebuah gabungan politik atas nama BN mahu melihat dari jangka sederhana dan panjang dari segi manfaat kepada negara dan khususnya kepada gabungan parti kita yang ada," katanya.