'Petugas SPR, pihak lain lebih ramai daripada pengundi'

PORT DICKSON - Calon Bebas pada PRK Port Dickson, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa jumlah petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak lain yang tidak berkenaan lebih ramai berbanding jumlah pengundi yang hadir di pusat pembuangan undi.

Katanya perkara itu berdasarkan pemantauannya di beberapa pusat daerah mengundi setakat tengah hari tadi.

"Ini menunjukkan isyarat bahawa mereka tidak bersetuju dengan sebab pilihan raya ini diadakan," kata bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, di sini.

Pada masa sama, Mohd Saiful Bukhari menyeru calon-calon yang bertanding agar turut bersama-samanya menggesa pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebelum pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang ini.

Sementara itu, Anwar yang bertanding sebagai calon PH pada PRK ini berharap lebih ramai pengundi berbuat demikian mulai tengah hari ini.

“Harapnya mereka akan keluar pada sebelah petang kerana sesetengah hotel memberi  pelepasan  kepada staf mereka pada sebelah petang,” katanya selepas melawat ke Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di sini hari ini.

Sehingga 12 tengah hari tadi, jumlah peratusan keluar mengundi adalah sekitar 34 peratus.

Selain Anwar dan Mohd Saiful Bukhari, lima lagi calon mencuba nasib pada PRK ini iaitu calon Pas, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta empat calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

PRK diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah melepaskan jawatan pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

Keputusan PRK ini yang akan diumumkan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson  dijangka  diketahui pada 10 malam ini. - Bernama

 

Mohd Saiful Bukhairi AzlanPRK Port Dickson