Pengundi muda catat peratusan memberangsangkan

PORT DICKSON - Jumlah pengundi bagi golongan muda di bawah umur 40 tahun mencatatkan peratusan yang memberangsangkan.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, berdasarkan perkiraan oleh anggota jentera di lapangan tempat mengundi yang mengambil kira kehadiran berdasarkan sistem yang dibangunkan, setakat jam 1 petang, 58 peratus adalah lelaki dan 42 peratus wanita.

"Daripada jumlah peratusan itu, 27.4 peratus adalah mereka yang berusia 31 hingga 40 tahun, manakala 16.8 peratus adalah berusia 21 hingga 30 tahun.

"Di sini menunjukkan jumlah pengundi mencecah 44 peratus adalah mereka yang berusia di bawah 40 tahun," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh yang juga merupakan ahli Parlimen Ledang.

Ahmad Fahmi berkata, ini adalah angka yang amat memberangsangkan.

Katanya, mengikut sistem pihaknya, anggaran kehadiran mengikut kaum adalah 57 peratus Melayu, Cina (23 peratus), India (14 peratus) dan selebihnya lain-lain kaum.

Bagi pecahan peratusan mengikut Dun pula, Linggi adalah 27 peratus, Bagan Pinang (26 peratus), Lukut (27 peratus), Chuah (26 peratus) dan Sri Tanjung (25 peratus).

"Daripada angka ini, kita lihat anak muda keluar menunjukkan sokongan mengundi," katanya.

PRK Port Dickson