Meskipun uzur, Muhyiddin semangat bantu kempen Anwar

BAGAN PINANG - Meskipun belum sihat sepenuhnya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa membantu kempen calon PH dalam PRK Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang kelihatan sedikit lemah tetap bersemangat ketika berucap di hadapan masyarakat di pekarangan Masjid Qariah Bagan Pinang, di sini, malam tadi.

Malah, beliau mengakui sudah hampir tiga bulan tidak menyampaikan ucapan di khalayak ramai disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan sebelum ini.

“Sudah hampir tiga bulan tak beri ucapan di hadapan khalayak ramai disebabkan keadaan saya agak uzur.

“Ini juga kali pertama saya melangkah keluar dari Kuala Lumpur. Saya sampaikan ucapan sebab beri sokongan padu kepada Anwar yang bertanding di Port Dickson.

“Saya telah bertemu dengannya dan dia menyatakan ucapan terima kasih kerana saya hadir ke sini,” katanya ketika berucap di dalam majlis itu.

Tambah Menteri Dalam Negeri itu, kehadirannya bukan saja kerana inginkan Anwar menang malah sebagai signal menunjukkan kesepaduan dalam kalangan pemimpin PH.

“Sebagaimana kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari lalu maka Top Five pemimpin utama PH datang ke Port Dickson.

“Saya sama-sama nyatakan sokongan padu dan harap PRK Port Dickson berjalan lancar dan sempurna dan pengundi buat keputusan tepat untuk sokong calon PH,” ujarnya.

Anwar IbrahimPRK Port Dickson