SHAH ALAM - Tidak ada satu pun agenda yang membincangkan hasrat Pas untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) atau menyokong PMX dalam Mesyuarat Tertinggi parti itu pada 15 November 2026 dan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 17 November 2026.
Perkara itu dinyatakan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad susulan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad menggesa Pas menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Idris berkata, sebaliknya, perkara yang diberikan perhatian ialah cara untuk memperkukuh dan menambah baik kerjasama Pas, Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)
"Gesaan itu merupakan antara mauduk paling menghiburkan minggu ini.
"Insya-ALLAH Pas yakin berada di landasan yang betul dan akan terus istiqamah. Bukan sekadar mencari tempat dalam kerajaan, tetapi berusaha membawa perubahan dan memenuhi harapan rakyat.
"Kita tidak mahu mengecewakan harapan majoriti rakyat, khususnya orang Melayu, Islam yang mengharapkan kepimpinan yang mampu mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya menerusi hantaran Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Khalid menyambut baik cadangan bekas Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rosli Yaakop agar parti Islam itu menyokong Anwar dan PH serta meninggalkan UMNO.
Tambah Idris, pemimpin Pas melihat perkembangan politik semasa sebagai satu gelombang kebangkitan rakyat.
Menurutnya, kerjasama antara parti-parti politik Melayu terbesar di negara ini perlu diperkukuh demi membawa perubahan yang diharapkan rakyat.
"Yang menariknya, dalam suasana seperti ini, tiba-tiba Pas diajak menyertai PH dan meninggalkan kerjasama dengan UMNO, ketika pengaruh PH semakin kurus.
"Terbaharu parti PKR dan Amanah hanya mampu dapat telur ayam di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Macam-macam ada dalam politik!
"Pas bukan parti yang tidak mempunyai pendirian sehingga mudah berubah haluan hanya kerana pelawaan politik.
"Pas mempunyai dasar, prinsip dan hala tuju perjuangan. Kerjasama politik dinilai berdasarkan kepentingan agama, rakyat dan negara, bukan kerana pujukan atau tawaran pihak tertentu," ujarnya.