LUKUT - Amanah percaya status bakal perdana kelapan menteri calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim melonjakkan jumlah pengundi di Port Dickson untuk keluar mengundi pada 13 Oktober ini.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihaknya percaya keputusan akan memihak pada PH.
Menurutnya, Amanah telah merancang strategi bagi memujuk pengundi luar dan dalam untuk turun mengundi selain berharap kesedaran sebaran maklumat melalui media massa dan media sosial.
"Saya percaya rakyat di sini tahu bakal ahli Parlimen mereka ini akan dilantik sebagai perdana menteri.
"Ini janji Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa penggantian adalah Anwar dan sudah tentu ini memberi manfaat kepada rakyat di sini," katanya selepas lawatan dan penyerahan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Adnan Othman, 33, salah seorang anggota bomba yang terkorban di lombong Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Sumbangan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor itu diserahkan sendiri Mahfuz yang juga Pengerusi Majlis Negara Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di kediaman arwah di Taman Jaya Lukut, di sini, hari ini.
Turut hadir adalah Pengarah JKKP Selangor, Ir Ibrahim Md Don dan wakil JKKP Negeri Sembilan, Mohd Hafiz Mazlan.
Mengulas lanjut, Mahfuz yakin janji pelantikan Anwar sebagai perdana menteri apabila menang PRK Port Dickson nanti akan dimanfaatkan rakyat.
"Rakyat pasti akan keluar mengundi. Ahli Parlimen mereka bakal perdana menteri, sudah tentu mereka akan keluar undi.
"Anwar harus bekerja terus dan kami selaku komponen PH akan terus bantu dan komitmen Dr Mahathir sendiri untuk turun kempen juga bakal menjadi kelebihan kepada Anwar menang kali ini," katanya.