Mula kempen lebih agresif tapi berhemah

KUANTAN -  PH akan menggerakkan Jentera PRK Port Dickson untuk kempen lebih agresif tapi berhemah bermula esok.

Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu untuk turut serta membantu menyuntik semangat semua jentera yang terlibat.

“Kempen kita bukan bersifat agresif semata-mata, tapi ia lebih kepada pendekatan berhemah kerana kita ingin memastikan calon PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh kemenangan selesa.

“Pada minggu terakhir kempen, tumpuan akan diberikan kepada  program bersifat sederhana dan mesra rakyat. Tun Dr Mahathir pun akan turun esok dan begitu juga pemimpin PH yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Mahkota Bahasa Melayu untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan 500 pelajar dari 20 sekolah di daerah ini yang dianjurkan bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi MCPF Pahang, Datuk Seri Johny Ch’ng Ewe Gee dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, Datuk Aziz Salleh.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan pemilihan PKR Pahang yang berlangsung semalam, Saifuddin berkata, keputusan sudah dibuat oleh ahli dan mereka bebas memilih pemimpin pilihan.

“Setakat ini, selepas pemilihan berlangsung di lima negeri, kedudukan saya dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) masih ada nombor. Kita tunggulah sampai semuanya selesai.

“Ini adalah keputusan ahli dan dalam pemilihan kali ini, ada ketua cabang yang tidak bertanding, ada yang bertanding dan ada pencabar atau penyandang yang mempunyai nama besar dalam PKR kalah. Itu biasa dalam pemilihan,” katanya.

Anwar IbrahimPRK Port Dickson Negeri Sembilan