PUTRAJAYA - Umno membuat keputusan yang bijak apabila memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis Politik Prof Dr Abdul Halim Sidek berpendapat keputusan itu tepat lebih-lebih lagi tarikh PRK tersebut pada ketika parti itu akan mengadakan Persidangan Agung Umno.
Menurutnya, Umno tidak boleh memberi tumpuan kepada PRK kerana pada masa sama mereka perlu memberi tumpuan pada isu lain yang lebih kritikal membabitkan Ahli Majlis Tertinggi mereka yang keluar parti beramai-ramai.
"Isu kritikal ini lebih penting untuk dirungkai berbanding PRK. Lebih-lebih lagi Port Dickson sememangnya kawasan PKR dan mereka telah memenangi kerusi di sana selama tiga penggal," katanya.
Abdul Halim berkata, Umno pastinya telah membuat penilaian maksimum dengan memikirkan pro dan kontra sebelum membuat keputusan itu.
"Menggunakan perkataan 'boikot' Umno sebenarnya mempunyai fokus pada isu parti mereka sendiri," ujarnya.
Tambah Abdul Halim lagi, Umno mungkin merasakan lebih baik melabur duit kepada persidangan parti mereka untuk merungkai isu yang menggugat kerelevanan parti daripada membazir tanpa ada hasil yang pasti.
"Umno tergugat kerana ahli-ahli kanan keluar parti beramai-ramai walaupun telah menang dalam pertandingan majlis tertinggi.
Persoalan perlu dirungkai apakah sebab mereka keluar parti. Adakah lebih ramai akan keluar dan adakah Umno akan jadi relevan atau tak,"katanya.
Sehubungan itu katanya, bagaimana Umno nak hadapi PRK sedangkan masalah dalaman mereka sendiri tidak terurus.
Pada masa sama, beliau menyifatkan keputusan Anwar untuk meminta penyandang kerusi parlimen Port Dickson berundur untuk memberi laluan kepada beliau bertanding adalah satu strategi baik buatnya.
"Anwar seorang ahli politik yang amat veteran dan mengikut percaturan politiknya beliau kira inilah waktu yang paling strategik dan kawasan yang paling selamat dan masa sesuai untuk penyandang sekarang meletakkan jawatan," katanya.