PH banyakkan aktiviti bertemu pengundi

BALAKONG – PH mengambil pendekatan berbeza dalam tempoh berkempen pada PRK Balakong dengan mengurangkan aktiviti ceramah dan memperbanyakkan aktiviti bersama masyarakat.

Calon PH, Wong Siew Ki berkata, beliau tidak akan membuat program ceramah yang banyak seperti pada PRK 14 lalu.

“Kita ada masa yang mencukupi untuk berjumpa rakyat. Mood rakyat bukan mahu dengar ceramah, ini hanya PRK, mereka mahu berjumpa dan mengenali siapa calon PH dengan lebih dekat,” katanya.

Siew Ki berkata, PH tidak perlu sehingga 10 program setiap hari dalam tempoh berkempen di PRK Balakong.

“Kita telah menghadkan sebanyak tiga atau empat program sehari, kita akan cuba sedaya upaya untuk turun ke semua kawasan di Dun Balakong,” katanya.

Siew Ki berkata, setakat ini pihaknya masih belum menyiapkan secara terperinci manifesto untuk Kampung Baru Balakong dan Sungai Chua.

“Saya akan memaklumkan perkembangan atau pelancaran manifesto Dun Balakong melalui laman sosial Facebook, buat masa ini saya hanya menumpukan isu infrastruktur dan ‘community building’,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi,  Dr Ong Kian Ming, jumlah pengundi di sekitar Sungai Chua kira-kira 5,000 pengundi, 90 peratus daripadanya adalah majoriti pengundi Cina.

“Secara keseluruhan Dun Balakong pula, 60 peratus adalah pengundi Cina, 30 peratus pengundi Melayu dan 10 peratus pengundi India, kita akan mendekati kesemua lapisan bangsa di Dun Balakong,” katanya.

Wong Siew KiBalakong PRK Balakong
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :