Wong Siew Ki fokus isu infrastruktur

BALAKONG – Calon PH,  Wong Siew Ki  berhasrat menaik taraf infrastruktur di Pasar Pagi Sungai Chua, di sini, jika PH menang di PRK Balakong.

Siew Ki berkata,turut berjanji memberi fokus berhubung isu infrastruktur di pasar pagi berkenaan dan kawasan sekitarnya.

“Saya mahu peniaga dan pengunjung selesa dan ‘bahagia’ berurusan di pasar ini saban hari,” katanya.

Menurutnya, jika dipilih menjadi Adun Balakong, pihaknya akan bekerjasama dengan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang turun padang meninjau kawasan yang perlu penambahbaikan infrastruktur dengan segera.

“Kita perlu mengenal pasti masalah di setiap kawasan sebelum kerja menaik taraf dilaksanakan, kita tidak boleh main redah sahaja, saya perlu bekerjasama dengan Ahli Majlis bagi mengatasi isu infrastruktur,” katanya pada sidang media selepas mengedarkan Jalur Gemilang kepada para pengunjung dan peniaga di Pasar Pagi Sungai Chua, di sini, tadi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga di Pasar Pagi Sungai Chua, Wong Wui Tat berkata, peniaga berharap Adun Balakong baharu yang akan dipilih nanti dapat menambahbaik infrastruktur di pasar berkenaan.

“Pasar ini sudah berusia 28 tahun, sebahagian bumbung di struktur lama  bocor, longkang pecah dan perlu diperbaiki.  Peniaga dan pengunjung juga berharap pihak berkenaan dapat memasang kipas dan lampu untuk keselesaan kami di pasar ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Kwan Tung, Lim Thian Ser berkata, pihaknya berharap dapat menjalinkan kerjasama Siew Ki jika calon PH itu menang pada PRK Balakong.

“Saya juga menerima banyak aduan, masalah penduduk berhubung isu infrastruktur termasuk sistem saliran dan longkang yang perlu dinaiktaraf, isu ini perlu ditangani segera,” katanya.

Wong Siew KiBalakong PRK Balakong
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :