Hasni cadang pilih orang muda pimpin Johor

JOHOR BAHRU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mencadangkan kepimpinan BN memilih orang muda untuk memimpin negeri ini.

Menurutnya, cadangan tersebut selepas melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting terhadap pembangunan negeri.

"Melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya sebelum ini telah berikhtiar sebaik mungkin menjadikan Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik Covid-19.

"Seperti yang saya ucapkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor. Kini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur.

"Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH SWT kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah berlangsung dalam keadaan harmoni dan lancar," katanya.

Pada Sabtu, BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

Pada Isnin, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghantar tiga nama sebagai calon Menteri Besar Johor kepada Sultan Johor, iaitu Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, ADUN Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan ADUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.