SHAH ALAM - DAP tidak pernah melakukan perbuatan tikam belakang demi kepentingan politik, sebaliknya sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sengaja mengalihkan perhatian daripada isu sebenar berhubung kemelut di Negeri Sembilan.
"Saudara Fadhli, jangan tukar 'goal post', isu pokok di sini ialah 10 Exco tersebut mengangkat sumpah taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 7 Ogos lalu.
"Mereka kemudian membuat keputusan untuk mengesahkan Proklamasi Menurunkan Takhta Tuanku pada 16 September 2026.
"Kalau tak mengiktiraf kedudukan Tuanku, mengapa sanggup Angkat Sumpah Taat Setia selepas PRN untuk membentuk kerajaan negeri?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli mempersoalkan sama ada Anthony akan menerima sekiranya Exco di negeri lain dipecat daripada jawatan mereka oleh Raja tanpa kelulusan eksekutif.
Katanya, cara peraturan itu ditafsirkan mestilah konsisten dan bukan hanya dibaca dalam konteks di Negeri Sembilan atau apabila DAP tidak menyukai kerajaan negeri berkenaan.
Mengulas perkara itu, Anthony menegaskan DAP tidak akan melakukan perbuatan berkenaan dalam apa juga keadaan.
"Ini perbuatan tikam belakang! DAP tak pernah buat benda macam ini. DAP akan sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan," katanya.