SPR tambah 29 saluran undi

BANGI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah 29 saluran pada hari pengundian PRK Dun Balakong, September ini.

Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon, Datuk Rosli Othman berkata, pada PRU14 lalu, sebanyak 100 saluran disediakan dan berlaku kesesakan berikutan jumlah pengundi yang ramai.

“Justeru, untuk penambahbaikan dan memudahkan pengundi, SPR tambah 29 saluran lagi menjadikan 129 saluran," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Balakong: MCA akui bukan parti pilihan]

Dalam perkembangan sama, beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan petugas SPR untuk penamaan calon pagi esok.

"Semua alatan dan hal-hal yang berkaitan untuk penamaan calon akan disempurnakan petang ini," katanya.

Sebelum ini, DAP mengumumkan Ketua Dapsy Serdang, Wong Siew Ki sebagai calon bagi mewakili parti itu, manakala MCA pula memilih seorang ahli perniagaan, Tan Chee Teong dipilih sebagai calon parti itu bagi PRK Dun Balakong.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut menyatakan hasrat untuk meletakkan calonnya bertanding mewakili parti itu pada PRK Dun Balakong.

Presidennya, Ariffin Salimon berkata, pihaknya terbuka jika ada ahli PRM yang menawarkan diri untuk bertanding pada PRK tersebut.

Kerusi Dun itu kosong selepas penyandangnya Ng Tien Chee daripada DAP maut dalam kemalangan pada awal pagi 20 Julai lalu.

Pada PRU14 lalu, Tien Chee mengalahkan 2 pencabar, masing-masing daripada BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan kelebihan 35,538 undi.

Tien Chee memperoleh 41,768 undi berbanding Chin Wah (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230).

SPR sebelum ini menetapkan PRK Balakong diadakan serentak dengan PRK Dun Seri Setia iaitu pada 8 September ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 18 Ogos dan hari mengundi awal pada 4 September.

Wong Siew KiTan Chee TeongBangi
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :