KOTA BHARU - UMNO Kelantan menggerakkan tabung derma di seluruh 14 bahagian bagi mengumpul RM50 juta untuk dibayar sebagai denda yang menjadi syarat tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Nor Hariri Mohamed Nor berkata, kutipan itu dilaksanakan secara fizikal di semua bahagian selain melalui kaedah dalam talian dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Menurut beliau, sumbangan tersebut merupakan tanda terima kasih terhadap jasa dan pengorbanan Najib sebagai bekas Perdana Menteri dan negarawan yang menurutnya banyak berjasa kepada rakyat serta negara.
"UMNO Kelantan menggerakkan tabung derma di seluruh 14 bahagian secara fizikal selain daripada kutipan secara dalam talian.
"Tabung ini bagi mencukupkan seberapa segera yang mungkin, jumlah RM50 juta untuk dibayar denda sebagai syarat tahanan rumah itu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Nor Hariri memberitahu, pihaknya dan seluruh kepimpinan serta ahli UMNO Kelantan turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan mengurniakan tahanan rumah kepada Najib.
Katanya, sumbangan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang bersyukur dengan keputusan berkenaan.
"Ramai antara rakyat yang sebelum ini hanya memerhati dalam diam meluahkan rasa gembira mereka dengan keputusan pengurniaan daripada Yang di-Pertuan Agong itu.
"Jadi kami berpendapat tidak salahlah untuk rakyat menyumbang kembali kepada beliau (Datuk Seri Najib) bagi mengenang jasa-jasa yang telah dilakukan kepada negara," katanya.
Menurut beliau, majoriti rakyat tanpa mengira bangsa Melayu, Cina, India dan Siam turut merasai limpahan bantuan bersasar seperti BR1M serta kemudahan UTC dan RTC untuk urusan dengan agensi kerajaan.
"Selain itu harga minyak dan barang keperluan juga terkawal," katanya.
Menurut Nor Hariri, rakyat Kelantan khususnya akan merasai perkembangan ekonomi apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mula beroperasi sepenuhnya pada awal 2027 nanti.
"Ini semua hasil idea dan perancangan rapi daripada air tangan beliau (Datuk Seri Najib)," katanya.