MIC perlu teraju baharu

TAPAH - PRU14 menyaksikan perubahan sepenuhnya pentadbiran negara apabila kerajaan diambil alih oleh Pakatan Harapan.

Bukan itu sahaja, dalam PRU kali ini juga memperlihatkan beberapa pemimpin komponen BN turut gagal dalam mempertahankan kerusi masing-masing.

Ini termasuk, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam gagal mempertahankan kerusi Parlimen Segamat yang disandang beliau sejak 2004, kepada calon PKR Datuk Seri R Santhara Kumar dengan majoriti 5,476 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, Dr Subramaniam memperoleh 18,584 undi berbanding 24,060 undi yang diraih Santhara manakala calon Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil hilang wang pertaruhan setelah hanya memperoleh 2,676 undi.

Subramaniam adalah Presiden MIC kedua yang kalah dalam PRU selepas Tun S Samy Vellu yang tewas di Parlimen Sungai Siput kepada calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Michael Jeyakumar Devaraj, yang bertanding atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2008.

Pastinya kekalahan Presiden MIC memberi tanda parti itu perlukan tenaga baharu untuk bantu BN bangkit kembali.

Namun menjadi persoalan kini siapakah yang layak menerajui parti MIC di kala calon parti itu kalah dalam PRU14 lalu dan bilangan yang menang boleh dikira dengan jari.

Antaranya, Ahli jawatankuasa MIC Pusat yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan dan Ahli  Parlimen Cameron Highlands, C Sivarraajh yang juga Ketua Pemuda MIC Kebangsaan dilihat berpotensi untuk mengisi kerusi parti itu selepas mereka menang pada PRU14.

Kedua-duanya mempunyai pengalaman tersendiri dalam dunia politik bahkan dilihat antara calon boleh mengisi jawatan Presiden MIC jika  berlaku kekosongan pada masa hadapan.

Namun begitu, menurut sumber mengatakan Saravanan yang bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan dilihat calon yang paling layak mengemudi bahtera parti MIC itu.

Berpengalaman luas dalam bidang politik di samping pernah menjadi timbalan menteri di dua kementerian sebelum ini,  Saravanan berkemungkinan boleh menjadi  calon untuk mengisi kerusi parti itu jika berlaku kekosongan.

Bukan itu sahaja, kemenangan beliau dalam PRU kali ketiga di Parlimen Tapah memberi isyarat jelas kepada kepimpinan MIC bahawa Saravanan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Sering lantang bersuara memberikan pendapat, beliau juga mempunyai pemikiran yang luas selain mengambil pendekatan lebih dekat dengan generasi kaum India masa kini dan akan datang

Bukan itu sahaja,  berada di Parlimen Tapah, beliau turut menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila berjaya mempertahankan kerusinya kali ketiga berturut-turut walaupun berdepan dengan tiga penjuru pada PRU14 lalu.

Tidak salah rasanya untuk meletakkan seorang pemimpin muda bagi menerajui MIC jika  mendapat persetujuan  semua peringkat untuk kebaikan bersama.

Mungkin dengan pemimpin baharu, parti itu boleh bangkit dari satu episod yang kelam untuk bersinar kembali membantu  BN mencipta sejarah satu hari nanti.

M SaravananMIC Tapah
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :