Letak calon yang ditolak rakyat antara punca BN jatuh

PEKAN - Keangkuhan BN meletakkan calon yang sudah ditolak rakyat membawa padah pemerintahan mereka 'terlucut' ke tangan pembangkang.

Presiden Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant mendakwa kejatuhan kerajaan BN juga berpunca daripada isu nasional yang tidak dijawab sebelum ini.

Jelasnya, gelombang 'Tsunami Rakyat' dan kebangkitan anak muda menjadi realiti apabila suara mereka kurang didengari.

"Lihatlah sendiri apa yang diperjuangkan anak muda, malah saya sendiri selaku NGO kerap kali menyatakan pentingnya meletakkan calon muda dalam proses meremajakan parti supaya lebih segar, baru dan berkelayakan untuk memimpin rakyat, tapi langsung tidak diendah.

"Rakyat boleh menilai, makin cerdik...bukan hanya tunggu dan lihat sedangkan mereka yang menanggung keperitan hidup seharian," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, perubahan kerajaan selepas 60 tahun Umno memerintah merupakan signal jelas daripada rakyat yang menolak kepimpinan sebelum ini.

"Rupa-rupanya BN sudah menjadi macam penjawat awam...cukup 60 tahun bersara wajib. Sedangkan ia boleh dielak jika pemimpin parti bijak membuat sesuatu keputusan.

"Jika dilihat, daripada segi bajet dibentangkan menampakkan keborosan apabila banyak peruntukan diberikan kepada perkara tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

"Kali ini wujud satu kebangkitan dinamakan kuasa rakyat. Kuasanya mengatasi segala," katanya.

Sementara itu, katanya lagi, Perdana Menteri baharu, Tun Mahathir Mohammed telah mencipta keajaiban kembali setelah memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri keempat selama 22 tahun.

"Tun Mahathir seorang yang bijak dan berpandangan jauh dan faktor berkenaan amat diperlukan rakyat negara ini.

"Saya percaya, idea bernas dan falsafah yang unik miliknya membolehkannya sekali lagi melakukan sesuatu yang sukar diramal dalam membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul," katanya.

Syed Mohammad Faiz AzemmantBN