Kemenangan besar sudah dijangka

SHAH ALAM - Formula Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengepalai Kerajaan Negeri berjaya tawan pengundi buat sekian kalinya apabila diberi mandat untuk tempoh lima tahun lagi.  

Seperti dijangka, Negeri Selangor yang mempertaruhkan 190 calon untuk merebut 56 kerusi Dun kekal bawah pemerintahan Pakatan Harapan (Harapan).

Gabungan parti PKR, DAP, Amanah dan Bersatu itu memenangi 51 daripada 56 kerusi Dun dipertandingkan manakala BN dan Pas masing-masing hanya memperoleh empat dan satu kerusi.

Bagi kerusi Parlimen pula, Harapan menang 20 kerusi manakala BN hanya mampu mengekalkan dua kerusi yang sebelum ini disandang Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang).

Terdahulu 75 calon bersaing bagi merebut 22 kerusi Parlimen di negeri ini manakala 190 calon bertanding merebut 56 kerusi Dun.

Keputusan bagi semua kerusi Parlimen dan Dun di Selangor diumum keseluruhan kira-kira jam 4.30 pagi dengan pengumuman terakhir melibatkan kerusi Parlimen Klang.

Pas menang  satu kerusi  

Harapan (sebelum ini gabungan Pakatan Rakyat) berjaya menang tambahan tujuh kerusi berbanding 44 kerusi pada PRU 13 ketika Pas masih bersama.

BN pula kehilangan lapan kerusi berbanding 12 kerusi dimenangi pada PRU 13 yang lalu.

Manakala Pas yang keluar daripada Harapan selepas memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama dengan PKR hanya berjaya memenangi satu sahaja kerusi pada PRU14 kali ini.

Bagi kerusi Dun, BN hanya memenangi kerusi Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam dan Sungai Burong.

Manakala Pas  mengekalkan kerusi Dun Sijangkang yang ditandingi Datuk Ahmad Yunus Khairi.

Bagi kerusi Parlimen menyaksikan Harapan menambah tiga kerusi berbanding 17 kerusi dimenangi pada 2013.

BN pula hanya memenangi dan mengekalkan dua kerusi Parlimen iaitu Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

Kempen sejak 11 hari lalu berpihak Harapan meskipun pelbagai insiden dilapor berlaku sepanjang tempoh kempen yang berakhir kelmarin.

Tsunami ketiga rakyat

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengulas keputusan keseluruhan PRU14 di Selangor, berkata keputusan itu adalah dipengaruhi oleh ‘tsunami rakyat ’.

“Ini bukan tsunami Melayu,  Cina dan  India, ini adalah 100 peratus tsunami Malaysia! Satu tsunami yang melanda seluruh negara untuk kerusi negeri dan kerusi Parlimen,”katanya.

Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (ketika itu gabungan PKR, DAP dan Pas) pada 2008 apabila ‘tsunami politik’, melanda negara yang turut menyebabkan kerajaan persekutuan dikuasai BN, kehilangan kuasa majoriti dua pertiga di parlimen  pada tahun sama.

Dalam pada itu, keputusan PRU14 kali ini seperti yang dijangka hasil kajian Survei Institut Darul Ehsan (IDE)antara Januari hingga hujung April 2018.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pihaknya sudah menjangka Harapan memperoleh peningkatan sokongan tujuh peratus daripada 49 peratus pada Survei Januari kepada 56 peratus pada Survei hujung April 2018 selepas penamaan calon.

Berdasarkan Survei IDE itu, sokongan kepada BN merosot empat peratus iaitu daripada 34 peratus kepada 30 peratus dan hanya akan menang tujuh kerusi.

Bagaimanapun keputusan diumum awal pagi semalam menunjukkan BN hanya menang enam kerusi masing-masing dua Parlimen dan empat Dun.

“Sokongan besar kepada Harapan disebabkan beberapa faktor. Ini merangkumi sokongan tinggi terhadap Menteri Besar  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mencapai tahap sokongan 65 peratus,”katanya sebelum ini.

Mohamed Azmin Ali
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :