Peluang BN tebus Dun Rhu Rendang?

MARANG - Rhu Rendang dalam Parlimen Marang dianggap kawasan ‘lubuk’ Pas sebelum ini apabila kerusi tersebut dikuasai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak lebih tiga dekad lalu.

Namun PRU14 menyaksikan calon BN dan Pas mempunyai peluang sama rata apabila Pas menampilkan muka baharu, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk bertanding menggantikan Abdul Hadi.

Dengan perubahan senario politik semasa itu, calon BN, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang juga bekas calon BN pada PRU13 dilihat bukan lagi sekadar mencukupkan jumlah kerusi ditandingi BN di Parlimen Marang.

Malah Nik Dir sendiri berpendapat, PRU14 merupakan peluang terbaik bagi BN untuk menang di kawasan yang dianggap sebagai simbol penguasaan dan tapak kekal Pas di negeri Terengganu pada PRU.

Keyakinan juga tinggi apabila veteran parti itu telah bertungkus lumus di kawasan Dun Rhu Rendang sejak sekian lama dengan mengambil tanggungjawab bagi memenuhi kepentingan rakyat dan parti itu.

Kini bayangan ‘kemenangan’ bagi BN bukan lagi mustahil untuk disebut ditambah perpecahan dalaman yang berlaku dalam Pas apabila ada ahlinya dikatakan keluar dari parti itu untuk sertai Amanah.

Justeru ramai percaya BN memiliki peluang menguasai kerusi itu dalam persaingan bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru kerana sehingga semalam hanya BN dan Pas menunjukkan minat.

Kerusi BN di Rhu Rendang mulai berpindah tangan kepada Pas pada 1982 ketika itu adalah Dun Marang setelah calon BN, Tengku Zahid Musa tewas kepada Abdul Hadi (Pas) dengan majoriti 320 undi.

Bermula pada itu, Abdul Hadi terus menapak dan setiap calon BN yang menentangnya tewas iaitu Abdul Latiff Muda, Abu Bakar Osman, Tengku Zainuddin Tengku Zahid, Razali Idris dan Nik Dir Nik Wan Ku.

Kini, selepas 36 tahun, banyak dalam kalangan pengundi mula menyuarakan harapan agar BN mengambil alih bagi memastikan nasib rakyat Rhu Rendang akan lebih diberi perhatian dan pembangunan dipertingkatkan.

Nik Dir yang merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, berkata, pada PRU14 kali ini Umno Marang juga akan menggunakan pendekatan baharu berdasarkan pengalaman tewas pada PRU lepas.

“Sejak kita kalah pada PRU13, kita telah bekerja selama lima tahun dan setiap pengundi kita kenal, kita jejaki. Bukan setakat berjumpa pada majlis tertentu tetapi kita turun padang dari rumah ke rumah.

“Kita akan teruskan sampai sekarang dan untuk masa yang terdekat iaitu dekat pada garisan penamat ini. Kita akan kekal meneruskan apa yang telah kita lakukan ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau ditemui selepas berakhirnya Majlis Pengumuman Calon BN di Kediaman Seri Iman di Kuala Terengganu.

Beliau turut menyifatkan Pas yang menampilkan Ahmad Shamsuri sebagai calon membolehkan pengundi memilih untuk memilih calon tempatan atau pun calon luar di kerusi Dun Rendang pada PRU14 ini.

Beliau percaya dalam PRU14, Pas tidak lagi kebal dan pengaruh parti itu akan berakhir pada PRU kali ini walaupun persaingan pastinya sengit namun beliau tetap yakin BN akan menang kali ini.

“Kali ini Pas bukan lagi meletakkan Abdul Hadi sebagai calon sebaliknya meletakkan calon dari luar, bukan dalam kalangan calon tempatan dan saya yakin dengan usaha kita lakukan saya yakin,” katanya.

Keyakinan itu juga berdasarkan tahap perpaduan dalam parti bersama semangat, komitmen semua jentera parti termasuk sayap wanita dan puteri serta veteran Umno yang konsisten berada pada tahap tinggi.

Malah katanya, sudah ada suara di peringkat akar umbi khususnya dari Pas memprotes pemilihan calon Pas menggantikan Abdul Hadi di Dun Rhu Rendang sekali gus membuka peluang lebih baik kepada BN.

Dalam perkembangan lain, tiga calon baharu turut dicalonkan BN bagi membawa amanah parti bertanding iaitu Mohamad Nor Endot di Parlimen Marang dan Datuk Saiful Bahari Baharuddin di Dun Alur Limbat.

Pada PRU14 kali ini juga menyaksikan calon wanita dipertaruhkan di Dun Bukit Payong iaitu bekas senator, Toh Puan Zaitun Mat Amin manakala dua lagi calon adalah calon lama dan penyandang.

Nik Dir merupakan bekas calon Dun Rhu Rendang dan Ketua Umno Bahagian Marang, A Latiff Awang kekal sebagai calon di kerusi Dun Pengkalan Berangan yang dimenanginya pada PRU13 lalu.

Abdul Hadi AwangNik Dir Nik Wan KuAhmad Samsuri MokhtarRhu Rendang Toh Puan Zaitun Mat Amin
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :