BN kekal terajui Pahang

KUANTAN - BN kekal sebagai kerajaan negeri apabila menang dengan majoriti mudah selepas memenangi 23 kerusi dun pada PRU14 seperti yang diumumkan.

Keputusan PRU14 memberi kejutan kepada BN Pahang  apabila bukan hanya gagal merampas kerusi dari pembangkang malah  turut terlepas beberapa kerusi dun.

Biarpun berjaya mempertahankan   lapan  kerusi parlimen, BN gagal merampas kerusi Parlimen Indera Mahkota, Temerloh dan  Kuantan sebaliknya kehilangan kerusi Parlimen Bentong dengan kekalahan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di tangan calon PKR, Wong Tack.

Pas menambah beberapa kerusi dun apabila menang di Dun Jengka, Tahan, Damak, Chenor dan Luit selain mengekalkan kerusi Dun Beserah dan Tanjung Lumpur.

PKR menguasai kerusi dun bawah Parlimen Bentong apabila menang di Dun Bilut, Ketari, Sabai kecuali Dun Pelangai kekal di bawah BN apabila Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob terus diberi mandat kali ini.

Beliau menang dengan majoriti 2,312 selepas memperoleh 5,410 undi mengalahkan calon Pas, Zaharim Osman dan calon PKR, Nor Haizan Abu Hassan.

Di Pekan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dijangkakan tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pekan apabila menang dengan majoriti 24,859 bagaimanapun angka itu jauh lebih  rendah daripada kemenangannya pada PRU13, 35,613 undi.

Kerusi Parlimen Bera kekal dalam genggaman BN apabila Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menang dengan majoriti 2, 311 undi.

Sementara itu, kerusi panas Parlimen Indera Mahkota yang  menjadi tumpuan pada PRU14 ini kekal di tangan PKR apabila Datuk Saifuddin Abdullah (PKR) menang selepas lawan lamanya, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan serta calon BN, Dr Johan Mat Sah.

Manakala kerusi parlimen Temerloh tidak seperti yang dijangkakan apabila calon  BN, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin kalah di tangan calon PKR, Mohd Anuar Tahir.

Pahang
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :