Berkesankah strategi umum calon awal?

Pengumuman Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) akan calon-calon parti masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor beberapa hari sebelum hari penamaan calon merupakan antara pembaharuan yang segar dalam rekod pilihan raya di negara ini.

Secara kebiasaannya, para pengundi hanya akan mengetahui siapa calon yang akan bertanding di kawasan mereka pada hari penamaan calon yang tarikhnya ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini kerana parti-parti bertanding hanya akan mendedahkan calon-calon mereka pada hari tersebut, lewat 'acara' mengisi borang calon dan pencadang di depan pegawai- pegawai SPR dengan diiringi rombongan perarakan oleh para penyokong parti yang ramai.

Pengumuman nama calon di kawasan tersebut jadi begitu dinanti-nantikan. Sebelum itu, kelibat calon mungkin sudah ternampak lebih awal dalam acara-acara kecil di kawasan tersebut, juga di kawasan tumpuan ramai seperti kedai kopi, pasar, dan majlis kenduri-kendara.

Maka apabila calon tiba di dewan tempat menghantar borang pencalonan diiringi penyokong yang menjulang poster dan sepanduk, timbul rasa teruja dalam kalangan pengundi bahawa benarlah sangkaan mereka bahawa si polan bin si polan menjadi calon di kawasan mereka.

Namun kali ini, sejak PRN Melaka barangkali, selepas SOP diperketat susulan penularan wabak Covid-19 di mana tiada sebarang perhimpunan besar dibenarkan, penamaan calon tidak lagi jadi 'acara besar' yang disambut sebegitu meriah, sebaliknya ia hanya perlu memenuhi urusan formaliti berkait urusan calon, parti dan dokumen-dokumen berkaitan.

Sesuai dengan norma baru yang menghalang perhimpunan dan akan mengkompaun para pesertanya, keterujaan kecil ini barangkali tidak wujud lagi.

 

Dr Maszlee calon MB?

Hari penamaan calon tidak lagi jadi satu medan membuka 'rahsia besar' parti siapakah sebenarnya calon yang terpilih dari sekian ramai manusia yang ada di sana, yang bakal mewakili penduduk di sana jika dia menang pilihan raya.

Maka atas sebab itu mungkin parti-parti politik yang bertanding berasakan tidak perlu lagi merahsiakan calon-calon mereka sehingga saat-saat akhir kerana 'element of suprise' itu sudah tidak dapat dirasai lagi lewat hari penamaan calon tetapan SPR.

Justeru, mereka membuat majlis lain pula di peringkat parti secara tertutup namun ditayangkan di laman maya untuk ditonton pelayar laman-laman sosial di seluruh negara.

Inilah yang dilakukan PH dan PKR, khususnya PKR yang mengumumkan calon-calon PRN Johor mereka jauh lebih awal daripada hari penamaan calon pada 26 Februari nanti.

Sehingga semalam, 14 Februari, PKR telah pun mengumumkan nama calon-calon parti itu di 13 kerusi DUN Johor - antara yang menarik perhatian adalah pengumuman bekas Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik sebagai calon PKR di DUN Layang-layang yang terletak dalam kawasan parlimen beliau.

Malah, lebih jauh, Dr Maszlee yang baru menyertai PKR November tahun lalu itu disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar (MB) jika PH berhasil merebut Johor dari kerajaan sekarang.

 

BN, PN belum umum calon

Dengan pengumuman-pengumuman tersebut, PKR dan PH jadi gabungan paling awal menamakan calon-calon mereka dalam PRN Johor ini.

Untuk rekod, sebelum ini, Parti Amanah Negara telah menamakan calon mereka di DUN Mahkota, manakala DAP juga selesai urusan tersebut di DUN Paloh, Tangkak, dan Mengkibol.

Tidak dapat dipastikan adakah pengumuman jauh lebih awal daripada tarikh penamaan calon  ini merupakan strategi yang baik untuk menarik minat pengundi, walau bagaimanapun ia tetap satu perkembangan menarik untuk diperhatikan.

Pada masa yang sama, lawan mereka, baik Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) mahupun parti-parti pembangkang lain seperti Pejuang dan Warisan belum berbuat perkara yang sama - mengumumkan calon-calon mereka baik di satu kerusi pun.

Dari satu segi, PH dan PKR, selepas selesai urusan menamakan calon-calon mereka mungkin boleh bergerak ke fasa seterusnya iaitu menguruskan kempen 14 hari yang akan berlangsung bermula 26 Februari nanti sehingga hari pengundian pada 12 Mac.

Secara psikologinya, mereka dilihat telah selesai satu perkara penting berbanding lawan mereka yang mungkin boleh dianggap masih berunding sesama parti gabungan untuk menentukan siapa bertanding di 56 kerusi DUN Johor.

Namun adakah langkah ini bakal jadi satu kelebihan kepada mereka dalam bentuk sokongan di peti undi? Ia tidak dapat kita pastikan sehinggalah tiba hari pengundian nanti.

Maszlee MalikPRN Johor
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :