PRK KKB jadi tumpuan masyarakat antarabangsa - Azmin

HULU SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, ia disebabkan kedudukan Kerajaan Madani semakin rapuh dan bakal tumbang bila-bila masa.

Kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor itu, beliau sendiri didatangi wartawan media asing, Bloomberg yang mahu mengetahui mengenai perkembangan politik semasa.

"PRK ini sedang diteropong seluruh rakyat Malaysia temasuk masyarakat antarabangsa.

"Mengapa saya kata begini kerana sebentar tadi dua wartawan Bloomberg yang beribu pejabat di Singapura datang bertemu saya untuk dapatkan maklum balas tentang perkembangan di KKB.

"Saya difahamkan masyarakat antarabangsa juga sudah mendapat maklumat bahawa Kerajaan Madani semakin rapuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato sempena Majlis Pengumuman Calon PN PRK DUN KKB di Bilik Gerakan Utama PN, Bandar Utama Batang Kali di sini pada malam Khamis.

Hadir sama, Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

PRK DUN KKB diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu dari DAP, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian, 7 Mei pula hari pengundian awal dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Pengarah PRK KKB PN, menegaskan, PN bukannya mahu menurunkan kerajaan sedia ada yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tapi rakyat sudah letih dengan pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri pada hari ini.

"Bukan sahaja orang Melayu, tapi orang India juga sudah bosan dengan Kerajaan Madani kerana mereka juga semakin jauh disisihkan dalam dasar-dasar kerajaan hari ini," dakwanya lagi.

Justeru, katanya, sekiranya PN memenangi PRK KKB dengan sokongan majoriti, seluruh landskap politik Malaysia akan turut berubah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!