Pakatan Harapan pilihan rakyat

Walaupun perpecahan ada dalam kalangan parti pembangkang, namun ia tetap menggugat sokongan kepada parti pemerintah disebabkan beberapa isu semasa termasuk 1MDB.

Mampukah pembangkang, khususnya Pakatan Harapan menawan hati rakyat seterusnya membentuk kerajaan baharu di peringkat persekutuan pada pilihan raya akan datang?

 

Ikuti kupasan lanjut berhubung hal-hal politik semasa tanah air menerusi wawancara khas wartawan Sinar Harian, MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI dan MOHD ISKANDAR OTHMAN bersama Presiden Amanah, MOHAMAD SABU.

Bagaimana perkembangan politik negara ketika ini?

Pertama kali saya lihat menjelang pilihan raya, pemerintah semakin cemas. Misalnya serang Tun Dr Mahathir Mohamad di sudut keturunan, peribadi dan sebagainya sedangkan itu adalah pimpinan mereka dan pimpinan Malaysia lebih 22 tahun sebagai perdana menteri.

Sepatutnya mereka tumpukan kepada kesilapan-kesilapan pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad. Itu tak apa, boleh dedahkan dan boleh dikritik tapi pergi sampai ke peringkat hal keturunan dan sebagainya.

Diikuti pula dengan puak yang kena serang, membalas balik dengan keturunan timbalan perdana menteri maka sekarang kita lihat seolah-olah pertarungan bukan di tahap pemimpin-pemimpin negara, macam pertelingkahan orang kampung, itu perkara yang pelik.

Keberanian rakyat saya lihat (apa yang berlaku) pada diri saya sendiri selalunya, pegawai-pegawai kerajaan bila kita jumpa di lapangan terbang atau jeti mereka bersalam, tapi nak ambil gambar mereka tak berani. Sekarang berebut-rebut nak ambil gambar.

Seolah-olah mereka nampak bahawa kerajaan akan beralih arah pada PRU14 dan suasana ini semakin dekat pilihan raya semakin ketara. Yang berebut ambil gambar dengan kita ini bukan yang kita kenal, maksudnya bukan pendengar ceramah kita tapi orang-orang biasa.

Kita nampak macam ada satu suasana keberanian rakyat untuk (menyokong) pemimpin pembangkang, sebelum ini kita nampak keberanian itu tak ada.

Apa kelebihan parti pemerintah dengan pembangkang, khususnya Pakatan Harapan?

Kelebihan parti pemerintah seperti dulu juga, mereka memiliki saluran media tanpa had yang digunakan sepenuhnya untuk serang parti-parti pembangkang dan saluran media kerajaan juga digunakan.

Ertinya itu sudah lumrah di Malaysia ini, penggunaan alat penerangan yang dikuasai kerajaan sepenuhnya untuk membela Umno ataupun penyokong-penyokong Umno. Misalnya sekarang ini ada juga pemimpin parti pembangkang, mereka pembangkang juga tetapi apabila mengeluarkan pandangan, suara mereka keluar dalam siaran kerajaan.

Itu menandakan bahawa kita melihat seolah-olah ada kerjasama untuk menghadapi parti-parti dalam Pakatan Harapan. Itu kelebihan yang ada pada BN, menyalahgunakan saluran media yang kami pembangkang tak dapat gunakan saluran itu.

Penyalahgunaan saluran ini bukan perkara baru, ia telah berlangsung sejak beberapa pilihan raya kebelakangan ini secara meluas.

<

Benarkah dakwaan bahawa ekonomi negara akan lebih teruk jika pembangkang ambil alih pentadbiran kerajaan?

Ambil alihlah dulu. Sebab itu kita yakin bahawa soal keyakinan pelabur dan keyakinan rakyat terutama sekali perkembangan ekonomi negara, pelabur asing itu sebagai tambahan untuk memacu ekonomi. Pelabur tempatan yang paling penting, pelabur-pelabur tempatan seolah-olah hilang keyakinan untuk menambahkan modal mereka bahkan jatuhnya nilai mata wang sebab mereka tidak tahu apa akan jadi dengan mata wang Malaysia.

Mereka banyak memindahkan wang mereka ke luar negara. Jadi keyakinan peniaga tempatan terhadap perkembangan ekonomi masih di tahap yang rendah. Kita yakin apabila beralih pemerintahan, keyakinan itu akan datang di peringkat awal.

Macam mana nak yakinkan rakyat untuk pilih pembangkang pada PRU14?

Kita sebenarnya telah menang yang disebut pembangkang dulu PR telah pun memperoleh undi majoriti 52 peratus.

Rakyat sebenarnya sudah buat pemilihan itu dan kali ini lonjakan akan berlaku lagi kerana masalah ekonomi yang paling utama, tekanan hidup, pegawai-pegawai kerajaan pula mereka tahu bahawa berlaku kekurangan peruntukan hampir semua kementerian dan perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan banyak dipotong akibat daripada kemerosotan ekonomi.

Dalam keadaan ekonomi yang agak baik, PRU13 kita telah dapat 52 peratus undi popular. Saya yakin kali ini kita akan dapat lonjakan yang lebih tinggi undi popular dan seterusnya mengambil alih pemerintahan persekutuan, insya-ALLAH.

Sebahagian rakyat masih rasa takut untuk undi pembangkang sebab berlaku perpecahan pembangkang sendiri, jadi macam nak tepis persepsi ini?

Sekarang kita telah buat mesyuarat, Pakatan Harapan telah ditubuh, strukturnya telah dibentuk dan ia berjalan dengan baik. Ada di sana sini berlaku kritikan dan kelemahan, tapi kita sedang perbaiki.

Keyakinan rakyat selepas terbentuknya Pakatan Harapan pada 13 Julai diikuti dengan rombongan kami diketuai Tun Dr Mahathir ke ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) untuk buat pendaftaran, kita nampak keyakinan rakyat semakin tinggi kepada Pakatan Harapan.

Adakah Pas menjadi punca kepada perpecahan pembangkang?

Pas dengan peranannya kita tidak tahu dia tidak jelas di mana posisinya, pada masa sama dia menyebut bahawa dia akan terus berlawan dengan Umno dan BN.

Pada masa sama juga, sasaran serangan mereka ialah kepada pembangkang terutama Parti Amanah dan DAP. Jadi posisi mereka yang sebenar, mereka lebih mengetahui. Bagi kami, empat parti ini akan bergerak terus dan akan terus membina kekuatan menjelang PRU14.

Di Malaysia ini sudah menjadi tabiat pengundi dia tidak pergi kepada individu, dia memilih sama ada parti yang boleh memerintah ataupun yang dia agak ada keupayaan untuk menang. sebab itu dia pilih PR atau BN dahulu.

Calon individu, saya ambil contoh Ibrahim Ali. Apabila dia menjadi calon bebas, dia hanya mendapat undi 400 lebih. Tapi apabila dia bertanding di bawah tiket Pas, di bawah PR, dia menang dengan majoriti lebih daripada 9,000 undi.

Bahkan contoh ini banyak berlaku. Kita lihat pula di Bukit Selambau, pertandingan 15 penjuru tetapi rakyat memilih sama ada PR ataupun BN. Lain-lain calon itu ratusan undi, puluh undi dan belas undi pun ada.

Pilihan raya akan datang pun begitu juga, sama ada rakyat pilih Pakatan Harapan ataupun tolak BN, dua itu saja. Yang lain-lain itu dia tak akan dapat undi, kecuali undi hard core yang ada, mungkin ahli-ahlinya yang ada sedikit di Kedah, Kelantan dan beberapa tempat.

Rakyat memilih siapa yang boleh memerintah. Jadi parti yang datang ini, yang tidak dilambangkan boleh mengambil alih selalunya rakyat tidak memberi undi walaupun ideologi dan perjuangan mereka itu hebat. Ini tabiat pengundi bagi rakyat Malaysia.

Macam mana nak tahu kedudukan Pas ketika ini?

Itu terserah kepada rakyat kita, misalnya isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dunia tahu berlaku penyelewengan bahkan dibicarakan di Singapura, bahkan orang yang mendapat duit daripada (ahli perniagaan) Jho Low itu sendiri menyerahkan kembali barang-barang kemas yang dibeli kerana duit itu wang rakyat yang dicuri.

Pelakon filem itu pun memulangkan semula Oscar yang diperolehnya kerana wang upah berlakon itu wang haram yang dibawa daripada Malaysia.

Kalau begitu terdedah di peringkat dunia, ada parti di Malaysia masih berpuas hati dengan penerangan yang diberi oleh (Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB) Arul Kanda itu, saya rasa pelik. Biarlah rakyat menilai mereka ini.

Ada spekulasi mengatakan hanya pemimpin Pas sahaja yang akan undi Pas pada PRU14, manakala ahli di akar umbi pula akan menyokong parti pembangkang yang lain?

Ya, saya berkeyakinan begitu. Kita ada menemui semua ahli-ahli Pas, semua kawan-kawan kita, adik beradik kita, sahabat-sahabat kita banyaknya memberi komitmen akan mengundi parti yang dianggap boleh mencabar BN, terutama dari segi boleh mengambil alih kuasa negeri dan parlimen.

Saya tak berani sebut berapa peratus, tapi peratusannya amat tinggi.

Bagaimana pula dengan pendirian Amanah mengenai laporan 1MBD?

1MDB ini di Malaysia satu perkara yang pelik. Tempat yang paling baik untuk bahas 1MDB, orang yang berkeupayaan membahaskan 1MDB di Parlimen.

Tetapi di Parlimen dia macam jadi satu Akta OSA, soal pun tak boleh. Sedangkan adalah hal kewangan negara tempat yang paling baik dibincangkan di Parlimen. Kita tak boleh bincang di kampung, Pak Leh yang jual cempedak itu macam mana dia nak cakap 1MDB.

Sudah tentulah orang yang berada di parlimen yang mampu bercakap hal-hal seperti itu.

Laporan Ketua Audit Negara diletakkan di bawah OSA, bermakna kerajaan menyembunyikan

sesuatu. Ini perkara yang besar dan di dunia luar sedang meletup hal ini, tetapi di sini disembunyikan dan cuba di khabar dengan pelbagai isu yang lain.

Adakah BN akan terus kekal selepas PRU14?

Tanya saya, tentu tak mampu sebab saya sebut daripada awal tadi sikap rakyat. Apabila

saya memberi ceramah di depan penyokong Amanah, menjerit penyokong Amanah itu

bukan ukuran sebab kita dalam parti lama pun begitu juga.

Tetapi kita lihat sekarang ini datang daripada orang yang bukan ahli parti. Kita boleh nampak terang-terangan bahkan jamuan hari raya kita ada pegawai-pegawai polis peringkat tinggi pun hadir sekarang ini, barangkali dalam pemikiran mereka kemungkinan boleh berlaku perubahan kuasa pada pilihan raya akan datang.

Saya tak mahu sebutlah kawasan mana yang ada pegawai-pegawai tinggi polis itu hadir,

tetapi kita boleh nampak sikap terutama sekali pegawai kerajaan terhadap program-program

Pakatan Harapan ini dan bila kita bertemu dengan mereka, nampak kesungguhan mereka untuk nak lihat perubahan pemerintahan.

Bahkan tiap kali jumpa tak ada lain soalan, “Bila pilihan raya?” Saya kata itu mana kita nak tahu, kena tanya Rosmah.

Tapi itulah soalan yang berulang, sebab orang dah tak sabar nak lihat pilihan raya dan saya yakin rakyat akan buat perubahan. Saya yakin Kedah akan berlaku perubahan pada PRU14.

Melihat perkembangan semasa, adakah BN mulai rasa tergugat?

Ya secara demokrasi biasa yang ada, bukanlah demokrasi macam di Eropah dengan ruang yang ada ini pun BN tergugat, melainkanlah mereka menggunakan kuasa-kuasa di luar demokrasi dan di luar norma.

Itu saya tak tahu. Tetapi dengan cara sekatan yang digunakan, media dan sebagainya kami berjaya menembusi termasuklah serangan kepada Tun Dr Mahathir. Soal keturunan dan sebagainya sudah berlaku serangan balik begitu dahsyat.

Tambahan timbalan perdana menteri pula seperti dilaporkan, dia datang selepas 1963. Umur sudah 11 tahun, sedangkan Tun Dr Mahathir daripada datuknya lagi. Jadi siapa yang lebih Bumiputera di sini?

Saya pun tak suka dalam ucapan saya timbulkan soal keturunan dan sebagainya sebab kita dalam Islam diajar manusia yang paling mulia ialah manusia yang paling bertakwa, bukan soal keturunan dan asal usul.

Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :