BN vs Lain-lain

Barisan Nasional (BN) dilaporkan media sudah pun selesai urusan pembahagian kerusi antara parti-parti komponennya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri  (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah PRN BN Johor berkata pada ketika ini partinya hanya perlu mengesahkan senarai pendek calon-calon tersebut di peringkat Dewan Tertinggi BN.

Perkembangan ini menampakkan betapa BN sudah bersedia berdepan PRN Johor pada ketika  parti-parti pembangkang masih belum menunjukkan persepakatan antara mereka walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada membayangkan hasrat dan keperluan mereka semua untuk bersatu menentang BN.

Hasrat tersebut boleh difahami kerana diperhatikan hanya ini sahaja caranya parti-parti pembangkang boleh menghidupkan peluang mencapai kemenangan dalam PRN yang dijangkakan akan mengulangi skrip PRN Melaka tiga bulan lalu.

Namun ketidaksefahaman antara mereka tampak kian ketara dari hari ke hari menjelang mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini yang menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian.

Bukan sahaja Pakatan Harapan (PH) selaku gabungan pembangkang terbesar dilihat tidak berjaya menyampaikan mesej kepada umum bahawa mereka kukuh dalam satu gabungan, kemunculan parti-parti pembangkang baru pula gagal ditangani sebagai watak-watak tambahan yang bakal tampil untuk menguatkan pembangkang sedia ada.

Sebaliknya, kehadiran mereka dilihat lebih berpotensi untuk memecahkan undi pengundi atas pagar dan mereka yang jelas tidak mahu mengundi BN.

Dakwaan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa partinya hanya mengadakan perbincangan dengan MUDA, tidak dengan PH hanya membesarkan retak yang ada.

Tak untungkan pembangkang

Pejuang yang dilaporkan mahu bertanding 42 kerusi di Johor itu berkata mereka tidak berhasrat menyertai gagasan ‘khemah besar’ yang dibawa PH namun mengakui ada berbincang dengan MUDA dan belum memuktamadkan bentuk kerjasama politik dengan parti yang baru diluluskan Pendaftar Pertubuhan itu.

Situasi simpang-siur melibatkan perbincangan dalam perbincangan ini pastinya tidak menguntungkan pembangkang sebaliknya boleh membelit mereka sehingga lemas dan tidak bernafas dalam PRN Johor nanti.

Itu belum lagi kita pertimbangkan keadaan di mana Warisan juga mungkin akan meletakkan calon mereka di Johor. Di mana pula calon mereka akan diletakkan? Gabungan mana akan mereka sertai? Atau adakah mereka akan bergerak solo?

Jangan lupa pengalaman dalam PRN Melaka lalu di mana kita ada Putra pimpinan bekas pemimpin Umno dan Semangat 46, Datuk Ibrahim Ali. Adakah parti yang kalah semua kerusi yang ditandinginya itu akan bertanding lagi dalam PRN Johor pula?

Semua keadaan ini dilihat hanya akan melorongkan BN ke jalan kemenangan yang lebih luas sementelah mereka tampak ‘solid’ sebagai satu pasukan dianggotai Umno, MCA, dan MIC.

Berbanding satu lagi gabungan parti kerajaan, Perikatan Nasional (PN) yang dilihat kian pudar popularitinya walaupun mungkin tidak punya isu sekompleks gabungan pembangkang, BN pada satu sisi lain  kelihatan cukup stabil dan tidak perlu mengeluarkan banyak kenyataan menyerang lawan.

Mereka kini tampak seperti Thanos, watak rekaan Marvel Comics dalam filem Avengers: Infinity War yang dikepung superhero-superhero yang ramai termasuklah Hulk, Iron Man, Thor, dan Captain America, namun tetap gagal ditewaskan.

Situasinya mirip ‘BN vs the rest of the world’ atau BN bertanding melawan yang lain-lain yang semuanya punya satu matlamat yang sama iaitu untuk mengalahkan BN.

PRN Johor
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :