Calon giat raih undi akhir kempen

KUALA KUBU BAHARU - Perang kempen antara parti yang bertanding khususnya antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu terus rancak.

Meskipun tempoh berkempen ketika ini hanya berbaki kurang 24 jam, namun calon bagi kedua-dua gergasi politik itu terus agresif menggerakkan aktiviti menemui pengundi sebagai pecutan akhir meraih sokongan.

Baik calon PH, Pang Sock Tao mahupun Khairul Azhari Saut yang mewakili PN, aktiviti kempen khususnya jelajah mesra tetap terus berjalan.

Fasa terakhir kempen ini juga turut menyaksikan bukan hanya calon sahaja yang bekerja keras tetapi turut diikuti jentera parti apabila kebanyakan pimpinan tertinggi di peringkat pusat mula berkampung di Kuala Kubu Baharu.

Berbeza dengan minggu pertama kempen yang dilihat agak hambar, kini kawasan yang cukup terkenal dengan ekopelancongan terutamanya kawasan riadah itu menjadi meriah dengan kehadiran jentera parti dari seluruh negara.

Meskipun PRK kali ini hanya melibatkan DUN dan tidak mengubah status kerajaan negeri atau pusat, namun kemenangan di Kuala Kubu Baharu penting bagi dua gergasi politik itu.

Di pihak PH, kemenangan ini penting bagi mengubat luka kegagalan mempertahankan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, selain memastikan kerusi yang di sandang calon mereka sejak tiga penggal lalu tidak terlepas.

Bagi PN pula, kemenangan ini penting sebagai pembakar semangat atau moral kepada penyokong, di samping menjadi bukti sokongan orang Melayu benar-benar berpihak kepada mereka.

Ramai melihat peluang kedua-dua calon ketika ini masih dilihat seimbang untuk membeli jiwa pengundi.

**media[2645222]**

POPULAR

Walaupun calon PN dilihat lebih ‘popular’ dengan isu-isu panas berbanding calon PH yang lebih steady, namun Sock Tao turut berhadapan isu tersendiri terutamanya membabitkan pengundi India.

Dari aspek kempen jentera parti, corak PH dan PN juga hampir sama apabila kedua-duanya menumpukan kepada ceramah kelompok dan jelajah mesra.

Bezanya, calon PH tertumpu di kawasan pekan Kuala Kubu Baharu, manakala PN lebih banyak menumpukan kawasan Batang Kali.

Dua lagi calon yang turut bertanding iaitu Hafizah Zainuddin yang mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin atas tiket Bebas dilihat tidak memberi kesan besar.Sock Tao ketika ditemui berkata, di saat-saat akhir kempen ini, beliau menumpukan kepada beberapa kumpulan pengundi yang belum ditemui secara dekat.

Katanya, secara keseluruhan beliau dan pasukan kempennya telah mencapai semua pengundi di DUN Kuala Kubu Baharu.

Menurut Sock Tao, berdasarkan respons yang diterima pengundi terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan usia itu, beliau yakin mampu membantu PH mempertahankan kerusi yang disandang mendiang Lee Kee Hiong sebelum ini.

“Penerimaan pengundi semakin baik dan saya menyeru kepada semua pihak untuk beri peluang calon muda dan wanita ini berkhidmat di Kuala Kubu Baharu.

“Saya akan pastikan tiada rakyat akan terpinggir sekiranya diberi peluang berkhidmat nanti,” katanya.

Sementara itu, Khairul Azhari memberi jaminan beliau akan menggunakan saluran yang tepat bagi memastikan keperluan rakyat dapat perhatian kerajaan negeri Selangor sekiranya menang PRK itu nanti.“Kita di pihak pembangkang mempunyai pelbagai idea dan cara untuk mengetengahkan perjuangan rakyat di Kuala Kubu Baharu.

“Bagaimanapun, terpulang kepada masyarakat di sini dapat terima atau tidak sebab kita sebagai pembangkang akan buat yang terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata, pecutan akhir kempennya tertumpu kepada ceramah kelompok dan bertemu kumpulan kecil pengundi jika masih ada yang belum ditemuinya.

KEYAKINAN

Jika dilihat, baik Sock Tao mahupun Khairul Azhari, kedua-dua calon ini mempunyai keyakinan untuk menang dengan asas tersendiri.

Apa pun, penentu sebenar kerusi DUN Kuala Kubu Baharu bakal menjadi milik siapa hanya terletak di tangan pengundi di kawasan ini.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!