'PN belum cukup kuat rampas KKB'

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dalam pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini biarpun mendapat saingan sengit daripada Perikatan Nasional (PN).

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, biarpun PRK itu akan berlangsung sengit berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 2023, namun PN diyakini tidak akan mampu merampas kerusi DUN berkenaan.

Ibrahim menjelaskan, antara faktor membantu kemenangan calon PH, Pang Sock Tao adalah kerana 20 peratus daripada lebih 18,800 pengundi Melayu termasuk penyokong UMNO akan mengundi calon mewakili Kerajaan Perpaduan terbabit.

“95 peratus daripada 12,182 pengundi Cina pula dijangka kekal bersama koalisi Kerajaan Perpaduan biarpun ada dakwaan penyokong DAP memboikot PRK kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan calon,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun, Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, apa yang masih menjadi tanda-tanya banyak pihak ialah ke mana hala tuju sokongan pengundi kaum India.

Katanya, biarpun ramai pengundi India meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kerajaan Madani dan PH namun beliau yakin mereka belum tentu mengundi calon PN.

“Saya juga percaya pengundi kaum India ini adalah golongan paling mudah diuruskan berbanding kaum lain termasuk Melayu dan Cina semasa PRK Kuala Kubu Baharu,” jelasnya.

Beliau berkata, antara punca utama PN gagal dalam misi menawan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu ialah kegagalan jentera dan pemimpinnya menyelaraskan isu dengan betul dan terdapat percanggahan fakta.

Satu lagi faktor yang boleh menjadi penyumbang kepada kekalahan PN kata Ibrahim ialah jentera kempen koalisi berkenaan yang tidak kemas berbanding jika Pas meletakkan calonnya bertanding di situ.

“Jentera akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agak lemah jika dibandingkan dengan Pas kerana parti itu sudah lama ditubuhkan dan mempunyai ramai wakil rakyat sekarang,” ujarnya.

Bagaimanapun pendapat Ibrahim itu disanggah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan bahawa PN akan beroleh kemenangan di Kuala Kubu Baharu berdasarkan maklum balas positif diterima koalisi berkenaan sepanjang kempen PRK kali ini.

Malah katanya, semua jentera parti sudah berkampung seawal kekosongan diumumkan bagi memastikan PN mampu merampas kerusi Kuala Kubu Baharu yang sebelum ini disandang oleh wakil rakyat DAP.“Isu utama ialah memilih calon tempatan atau luar selain keyakinan pengundi kepada calon yang mampu menjalankan tugas. Apa yang penting ialah usaha memastikan pengundi luar balik menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming pula berkata, berdasarkan tinjauannya ke kawasan majoriti Melayu, Cina, India dan perkampungan Orang Asli mendapati peluang PH-PN menang di kerusi Kuala Kubu Baharu seimbang atau 50:50.

Bendahari DAP Selangor itu juga tidak menafikan terdapat kelemahan kempen di kawasan majoriti Melayu kerana jentera PH dan BN di kawasan terbabit tidak sekuat di kawasan bukan Melayu.

“Oleh itu, fokus kempen PH dan BN untuk hari terakhir kempen ini sepatutnya tertumpu di kawasan majoriti Melayu dan juga untuk memberi galakan kepada pengundi luar kawasan untuk balik mengundi,” tambahnya.

Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy ketika ditemui di Kuala Kubu Baharu pula berkata, Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) pimpinannya akan meneruskan kempen supaya pengundi terutamanya kaum India untuk menolak calon DAP.

Bagaimanapun Ramasamy menegaskan, tindakannya itu bukan bermakna menyokong calon PN tetapi lebih kepada calon Bebas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), asalkan bukan calon PH.

“Walaupun keputusan PRK ini tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan namun kami berharap pengundi dapat menjadikannya sebagai ruang untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!