Kementerian baharu diperlukan untuk Sarawak: Penganalisis

KUCHING - Ucapan penghargaan Tan Sri Abang Johari Tun Openg cukup ringkas, berbanding kemenangan besar yang dicapai Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak -12 (PRN12) pada Sabtu.

Ketua Menteri Sarawak itu menyifatkan pencapaian GPS sebagai kemenangan bagi semua rakyat Sarawak dan GPS akan terus memberi fokus kearah membina ekonomi yang mampan, dengan rakyat diutamakan dan keterangkuman, dalam merintis hala tuju kearah mencapai hasrat negeri maju 2030.

Dengan mandat kukuh yang diperoleh, tumpuan kini terarah kepada pembentukan Kabinet baharu negeri.

Siapa pula akan dipilih Abang Johari untuk mengisi kabinetnya bagi melaksanakan manifesto 34 perkara dikemukakan oleh GPS, yang antara lain menjanjikan daripada pembanterasan kemiskinan sehingga kepada transformasi digital, bagi memamacu pembangunan dan ekonomi?

GPS terdiri daripada persepakatan antara Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Selain Abang Johari yang menerajui PBB, pemimpin-pemimpin lain dari gabungan itu yang meraih kemenangan dalam PRN ini ialah Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing dan beberapa pemimpin kanan PRS seperti Datuk Malcom Mussen Lamoh dan Datuk John Sikie Tayai.

“Dengan mandat yang besar, perkara utama yang perlu dilakukan oleh GPS ialah melaksanakan semua janji-janji dalam manifesto.

“Kerajaan negeri perlu merangka semula strategi bagi menangani bidang fokus utama seperti telekomunikasi digital, pendidikan, dan isu-isu ekonomi secara keseluruhan yang penting,” Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir.

“Ini memerlukan kementerian baharu untuk disesuaikan dengan agenda 2030. Jadi apa yang penting adalah mewujudkan portfolio yang tepat, dan meletakkan individu yang paling sesuai di tempatnya,” katanya.

Beberapa rancangan dilihat sudahpun dilaksanakan, terutama pembinaan infrastruktur seperti jambatan dan rangkaian jalan raya. Kerajaan Negeri telah membina 10 jambatan baharu di kawasan pedalaman sejak Abang Johari menerajui kerajaan pada Januari 2017.

Dr Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, cabaran bagi GPS adalah untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik, supaya nanti ada,kad laporan, yang dapat meyakinkan rakyat untuk mengundi GPS sekali lagi pada pilihan raya umum ke-15.

Kuok Tiung berkata, kemenangan besar GPS bukanlah sesuatu yang memeranjatkan, kerana keempat-empat parti komponen memang dijangka akan mempamerkan prestasi baik pada PRN ini, terutama SUPP yang menunjukkan prestasi memberangsangkan di kawasan majoriti kaum Cina.

Sebelum pengundian, Abang Johari dibantu tiga timbalannya yang terdiri daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dan mendiang Tan Sri James Masing yang meninggal dunia pada akhir bulan Oktober.

Ada 13 kementerian dalam kabinet Sarawak, dengan Abang Johari turut memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi, Menteri Perumahan dan Urbanisai, serta Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :