Satok kekal jadi kubu kuat GPS

KUCHING - Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok kekal menjadi kubu kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila calonnya, Datuk Ibrahim Baki menang bergaya dengan majoriti 6,033 undi menewaskan dua pencabarnya.

Meskipun beliau antara calon muka baharu GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), Ibrahim berjaya menewaskan Awang Badele Awang Ali daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang memperoleh 415 undi dan Dr Nor Irwan Ahmad Nor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 958 undi.

Ketika ditemui pemberita selepas Majlis Mendengar Keputusan PRN di sini malam Sabtu, Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada semua penduduk di DUN Satok atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Sebagai wakil rakyat di kawasan itu katanya, beliau akan meneruskan kesinambungan pembangunan yang diterajui mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam pelbagai aspek demi kepentingan rakyat.

"Mandat yang diberikan ini adalah amanah besar bagi saya. Insya-ALLAH saya tidak akan mensia-siakan harapan penduduk di Satok malah saya akan melakukan yang terbaik dalam membangunkan kawasan kita," katanya yang juga merupakan ahli koporat.

Dalam pada itu, beliau turut berikrar akan memberikan perkhidmatan yang adik selain kerap turun padang menyantuni penduduk di kawasan itu supaya beliau mengetahui permasalahan yang dihadapi masyarat di Satok.

Untuk rekod, Ibrahim merupakan Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Satok yang telah bergerak aktif dalam politik di peringkat kawasan berkenaan sejak 36 tahun lalu.

Sementara itu, Abang Johari yang telah mewakili DUN Satok sejak 1981 mengambil keputusan bertanding di DUN Gedong, mengisi kekosongan selepas penyandangnya, Datuk Mohd Naroden Majais mengundur diri.