KAJANG – Semangat kemenangan cahaya ke atas kegelapan dan kebenaran ke atas kebatilan yang menjadi lambang sambutan Deepavali seharusnya dijadikan ilham perjuangan politik berprinsip dalam menghadapi cabaran semasa negara.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata simbolisme di sebalik perayaan Deepavali amat bertepatan dengan suasana politik negara ketika ini yang berdepan ketidaktentuan akibat kelemahan pentadbiran kerajaan sedia ada.
“Saya mengajak semua yang hadir untuk merenung semangat sebenar di sebalik Deepavali. Dalam keadaan negara kita dilanda pelbagai kesukaran akibat ketempangan kerajaan yang mentadbir, semangat ini perlu dijadikan pembakar semangat untuk terus berjuang,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook pada Sabtu ketika mengulas ucapannya pada Majlis Sambutan Hari Deepavali di Kajang, malam tadi.
Wan Saiful turut menegaskan bahawa pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan memadamkan perjuangan serta idealisme parti itu yang kekal berteraskan agenda rakyat.
Katanya, apa yang berlaku hanyalah pergeseran dalaman disebabkan keengganan segelintir pimpinan tertinggi untuk melakukan perubahan dan keterbukaan dalam berpolitik.
“Pergeseran dan perselisihan adalah lumrah dalam mana-mana parti. Situasi dalam Bersatu ini sementara sahaja kerana ramai di akar umbi yang menuntut parti kembali kepada asas perjuangan sebenar.
“Malangnya, ada pemimpin tertinggi mempergunakan kuasa untuk mempertahankan cara feudal politik naungan serta menutup ruang perbezaan pandangan,” katanya.
Beliau turut menyeru penyokong Bersatu supaya bersabar dan memberi ruang kepada parti untuk menyelesaikan kemelut dalaman tanpa menghakis kepercayaan rakyat terhadap perjuangan asal parti itu.
Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) lebih serius dalam membela nasib masyarakat India di negara ini.
Tambahnya, beliau sendiri beberapa kali telah membawa suara komuniti India ke Dewan Rakyat termasuk isu kebajikan pemimpin kuil Hindu di Malaysia yang akhirnya mendapat perhatian kerajaan selepas perkara itu diketengahkan.