KUCHING - Sebanyak 1,040 anggota polis di seluruh negeri ini ditugaskan bagi memberi bantuan sumber manusia semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.
Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Gilberd Philip Layang berkata, kesemua anggota terbabit telah diatur gerak sejak Rabu.
"Antara anggota yang terlibat ialah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan Pasukan Polis Marin Wilayah Lima," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis simbolik pelepasan anggota terbabit di IPK Sarawak pada Khamis.
Menurut Gilberd, seramai 400 anggota telah diatur gerak bagi fasa pertama sejak Rabu.
"Mereka dihantar ke beberapa daerah termasuk di bahagian selatan Sarawak merangkumi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, Bintulu serta bahagian Sibu.
"Hari ini (Khamis) pula seramai 640 anggota dihantar ke IPD berdekatan dengan menggunakan 15 bas ekspres," katanya.
Sementara itu, tambah Gilberd, mereka akan diberikan tugasan dan taklimat daripada Ketua Polis Daerah (KPD) setibanya di IPD masing-masing.
"Justeru, diharap petugas ini sentiasa mematuhi arahan dan mempamerkan disiplin yang tinggi ketika bertugas serta menitikberatkan aspek keselamatan," katanya lagi.
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my