SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyangkal dakwaan terdapat wakil UMNO bertemu dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk terlibat dengan gerakan rentas parti.
Beliau berkata, sebaliknya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengambil inisiatif berjumpa orang perantaran UMNO dan menawarkan jawatan Perdana Menteri jika parti itu bersetuju dengan langkah 'kerajaan tebuk atap'.
"Tuan Ibrahim tidak perlu berbohong. Apa yang saya dimaklumkan, Tuan Ibrahim yang mengambil inisiatif berjumpa dengan orang perantaraan UMNO dan menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada UMNO jika UMNO bersetuju dengan langkah 'kerajaan tebuk atap'.
"Tetapi idea itu tidak pernah dibawa dan dibincang dalam MKT. Kalau ia dibawa ke MKT sekali pun sudah pasti saya orang pertama yang akan bercakap dan membantah dengan sekeras kerasnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Pas mendakwa terdapat wakil UMNO bertemu dengan pimpinan PN secara senyap-senyap untuk terlibat dengan gerakan rentas parti yang digerakkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau mengesahkan kewujudan itu dan bersikap terbuka terhadap mana-mana pemimpin dalam UMNO yang ingin bersama atau menyokong PN.
Tambah Mohd Puad, UMNO tidak akan terjebak sekali lagi dalam pakatan dengan PN yang disifatkan sebagai rakan kongsi paling tidak boleh dipercayai sepanjang sejarah Barisan Nasional (BN).
"Tuan Ibrahim amat mengetahui UMNO tidak akan masuk lubang biawak kali kedua. Semua itu hanya untuk memerangkap UMNO. Kerjasama UMNO-Pas apatah lagi dengan Bersatu hanya bermimpi di siang hari.
"UMNO sudah serik dengan PN. Dalam sejarah BN, jelas sekali PN adalah bekas rakan kongsi yang paling tidak boleh dipercayai," katanya.
Jelas Puad, kerjasama BN-PH sudah diumum secara rasmi dan tidak akan ada perbincangan mengenai gabungan baharu termasuk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Beliau yakin tidak ada seorang pun ahli MKT yang akan bersetuju jika ada cadangan membawa semula rundingan bersama PN.
"Kalau ada sinar kepada pertemuan itu sudah tentu di PRN Sabah akan datang sudah ada perbincangan mengenainya. Kerjasama BN-PH sudah diumum secara rasmi. No Pas, No Bersatu, No Ramasamy, No Wyrtha Morthy!
"Saya yakin tidak seorang pun di kalangan ahli MKT yang akan bersetuju kerjasama BN-PN. Sudah ada keputusan UMNO kekal bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.