Parti utama PRN Sarawak umum calon

KUCHING - Gendang perang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 semakin kuat dipalu dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang melibatkan empat parti, pada Jumaat mengumumkan senarai 81 daripada 82 calon mereka yang akan bertanding.

Berdasarkan senarai calon GPS yang diperolehi selepas Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyerahkan watikah pencalonan mereka dalam satu majlis tertutup, hanya calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian sahaja yang belum diputuskan.

Untuk PRN kali ini, Abang Johari yang merupakan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpindah ke DUN Gedong, selepas menjadi ADUN Satok selama sembilan penggal sejak 1981.

Rakan PBB dalam GPS, Parti Demokratik Progresif (PDP) pula meletakkan Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu, untuk bertarung kali pertama dalam kancah pilihan raya negeri dengan mencalonkannya di DUN Dudong.

Sebuah lagi komponen GPS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengekalkan presiden mereka, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian untuk mempertahankan kerusi DUN Batu Kawah, yang dimenanginya dalam PRN ke-11 pada 2016.

Seorang calon muka baru, Nicholas Kudi Jantai Maseng menjadi harapan Parti Rakyat Sarawak (PRS), sebuah lagi komponen GPS untuk mempertahankan kerusi DUN Baleh, selepas penyandangnya yang juga presiden parti itu, Tan Sri Dr James Jemut Masing, meninggal dunia 31 Oktober lepas.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak telah menyandang kerusi DUN berkenaan selama lapan penggal sejak 1983, dan Nicholas Kudi merupakan anak saudaranya.

Selain Tiong dan Nicholas Kudi, GPS menamakan 21 orang lagi calon muka baharu dalam menghadapi PRN-12 ini, dengan calon untuk DUN Tellian yang belum dinamakan itu juga dijangka muka baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Berdasarkan senarai itu juga, GPS akan diwakili PBB di 47 buah kerusi dengan SUPP bertanding di 18 kerusi, PRS (11) dan PDP (enam).

Sementara itu, PKR yang berhasrat bertanding di 49 kerusi, mengumumkan 27 calon akan mewakili parti itu pada pilihan raya negeri kali ini.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Joshua Jabeng berkata, hanya 27 calon diumumkan, berdasarkan keputusan PKR untuk bertanding di kerusi diyakini mempunyai peluang kemenangan yang tinggi, setelah membuat perincian.

Antara yang diumumkan adalah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Abg Zulkifli Abg Engkeh bagi kerusi Beting Maro dan Joshua sendiri bertanding di Kakus.

Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri, Dominique Ng berkata, PKR mungkin membuat perubahan pada saat akhir dan berkemungkinan akan menambah lagi calon-calon yang bertanding.

Sekutu PKR dalam PH iaitu DAP, yang akan bertanding di 26 kerusi, lebih awal mengumumkan nama 18 calonnya pada 26 November dan enam lagi semalam. Dua calon masing-masing bagi kerusi Bawang Assan dan Dudong diumumkan pada Jumaat.

DAP yang menguasai kerusi di kawasan bandar antara lain mempertaruhkan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, yang merupakan penyandang Kota Sentosa, untuk bertanding di Padungan; Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Batu Kawah) dan Violet Yong Wui Wui (Pending).

Parti lain yang berhasrat bertanding dalam gelanggang pilihan raya negeri kali ini iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah), belum mengumumkan calon mereka.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :